PENCEROBOHAN perniagaan tempatan oleh warga asing bukan isu yang boleh dipandang ringan kerana bukan sahaja melanggar syarat pelesenan, malah menjejaskan peluang peniaga tempatan mencari rezeki secara sah.
Pembatalan 28,401 lesen perniagaan dalam tempoh tiga tahun menerusi operasi bersepadu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuktikan keseriusan isu ini dan perlunya penguatkuasaan berterusan.
Sebanyak 10,248 operasi bersepadu dilaksanakan dalam tempoh berkenaan, dengan 100,366 tindakan penguatkuasaan diambil di seluruh negara.
Di sebalik angka tersebut, amalan ‘Ali Baba’ yang membolehkan warga asing menjalankan perniagaan melalui lesen atau premis milik rakyat tempatan juga perlu diberikan perhatian serius kerana menjadi antara ruang yang membuka peluang kepada penyalahgunaan lesen.
Amalan ‘Ali Baba’ berlaku apabila pemegang lesen tempatan menyewakan lesen atau premis kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.
Perbuatan ini tidak boleh dibiarkan kerana bukan sahaja melanggar syarat pelesenan, malah memberi ruang kepada kegiatan perniagaan haram untuk terus beroperasi.
Pemegang lesen yang bersubahat perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen mengikut peraturan ditetapkan.
Amalan ini juga tidak boleh ditangani secara terpilih sehingga ada pihak merasakan mereka boleh terlepas daripada hukuman.
Pemantauan berterusan, perkongsian maklumat antara agensi dan tindakan susulan terhadap premis yang pernah dikenakan tindakan mesti menjadi keutamaan.
Kerjasama KPKT dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu diperkukuh.
Mempertahankan kepentingan peniaga tempatan menuntut tindakan nyata, bukan sekadar kenyataan dan statistik.
Amalan ‘Ali Baba’ dan penyewaan lesen bagi membolehkan perniagaan haram beroperasi mesti dibanteras hingga ke akar umbi.