KEPUTUSAN kerajaan mengarahkan anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze wajar disambut serius, bukan sekadar dilihat sebagai arahan pentadbiran biasa.
Langkah yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara itu memperlihatkan bahawa isu keselamatan data dan kedaulatan digital kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat dan kebimbangan utama ialah risiko pendedahan maklumat serta data pergerakan pengguna memandangkan aplikasi berkenaan dikaitkan dengan undang-undang Israel.
Jika ancaman tersebut dianggap cukup serius sehingga penggunaan Waze dilarang dalam kalangan penjawat awam, maka rakyat berhak bertanya sama ada risiko yang sama turut dihadapi oleh pengguna biasa.
Dalam soal keselamatan siber, ancaman tidak memilih mangsa berdasarkan status pekerjaan. Data lokasi seseorang boleh mendedahkan rutin harian, tempat tinggal, lokasi kerja dan corak pergerakan yang boleh disalah guna oleh pihak tertentu.
Kerajaan turut menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif.
Aplikasi itu bukan sahaja menawarkan fungsi navigasi dan maklumat trafik masa nyata, malah turut menyediakan akses kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya, maklumat kawasan rehat serta bantuan kecemasan.
Justeru, jika terdapat penilaian keselamatan yang kukuh dan meyakinkan bahawa sesuatu aplikasi benar-benar mendatangkan risiko kepada negara, kerajaan perlu mempertimbangkan tindakan lebih tegas termasuk sekatan menyeluruh kepada penggunaannya.
Ketegasan itu penting bagi mengelakkan persepsi bahawa hanya penjawat awam perlu dilindungi, manakala rakyat biasa terus terdedah kepada risiko yang sama.
Era digital menuntut keberanian membuat keputusan yang sukar. Keselamatan siber bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan demi melindungi data rakyat, mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keyakinan terhadap ekosistem digital negara terus terpelihara.