Kerajaan sekat stesen minyak disyaki salah guna subsidi Budi Madani guna MyKad pihak lain

Iklan
Kerajaan sekat stesen minyak disyaki salah guna subsidi Budi Madani guna MyKad pihak lain. Foto hiasan

SHAH ALAM - Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang dikenakan tindakan sekatan selepas dikesan melakukan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi petrol di bawah inisiatif Budi Madani.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, tindakan itu dibuat susulan beberapa aduan daripada penerima bantuan tersebut yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membuat pembelian petrol bersubsidi.

Iklan
Iklan

Jelas kementerian itu, kesemua pengadu berkenaan telah membuat laporan polis berhubung penggunaan maklumat MyKad masing-masing.

"Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000," kata kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Susulan penemuan tersebut, MoF mengambil tindakan menyekat stesen minyak berkenaan daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani.

Selain itu, bayaran subsidi kepada stesen minyak tersebut turut ditahan dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.

Iklan

"Sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka juga turut disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi Budi Madani, sementara tindakan susulan dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan pihaknya turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan sedang meneliti rekod transaksi mereka.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu terbabit sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi.

MoF menegaskan Budi Madani dirangka bagi memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.

"Subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi.

"Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api," katanya.