Koperal polis sebak, bebas dua kes guna dokumen palsu tuntutan elaun RM3,000

Iklan
Muhamad Afiq (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi bersama Khairul Naim dan Mariani (kiri) pada Selasa.

BANGI – Seorang koperal polis mengalirkan air mata selepas Mahkamah Majistret di sini pada Selasa melepaskan dan membebaskannya daripada dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tuntutan elaun perjalanan berjumlah RM3,000.

Muhamad Afiq Khalid, 34, telah ditahan kerja sejak Jun dua tahun lalu turut tergamam sejurus keputusan itu dibacakan pada akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Majistret, Saira Banu Mohamed Ashrof Raja ketika membaca keputusan berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Menurutnya, kes pendakwaan bergantung sepenuhnya pada keterangan mengikut keadaan bagi mengaitkan tertuduh dengan dokumen berkenaan.

Iklan

“Tiada bukti fizikal penyerahan atau kemasukan data, iaitu tiada saksi pendakwaan yang dapat mengesahkan tertuduh sendiri menyerahkan dokumen itu kepada ketua cawangan atau pegawai kewangan.

“Selain itu, cop akuan terima pada borang berkenaan juga tidak pernah dikemukakan atau dibuktikan sebagai diserahkan oleh tertuduh.

Iklan

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dalam kes ini, maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Bapa dua anak yang bertugas di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak 2016 itu berdepan dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri bagi Januari dan Jun 2020.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan dokumen tuntutan elaun perjalanan bagi Jun 2020 berjumlah RM1,780, membabitkan elaun makan, harian dan lojing.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan dokumen tuntutan bagi Januari 2020 berjumlah RM1,220 di Bahagian Kewangan, Batalion 4 PGA, Semenyih, Hulu Langat.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Sepanjang kes pendakwaan, seramai 10 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias sementara tertuduh diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi dan Mariani Tan.