Pemergian anggota Maritim kehilangan besar buat negara - Saifuddin

Iklan
Saifuddin zahir takziah kepada anggota Maritim maut ketika operasi di Perlis pada Selasa.

SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang maut ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa.

Saifuddin berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga dan insan tersayang, malah kepada seluruh warga Maritim Malaysia, khususnya rakan seperjuangan yang pernah berkhidmat bersamanya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Allahyarham telah mencurahkan tenaga, kepakaran dan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara sepanjang berkhidmat sebagai anggota Maritim Malaysia.

“Sesungguhnya, setiap jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Allahyarham amat kita hargai dan akan terus dikenang.

Iklan

“Buat seluruh ahli keluarga Allahyarham, saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) merakamkan ucapan salam takziah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Roshaimi, 41, disahkan meninggal dunia selepas bot yang dinaikinya bersama tiga anggota lain dipercayai melanggar tembok di pesisir pantai kawasan berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Iklan

Dalam kejadian itu, tiga lagi anggota dilaporkan cedera selepas bot peronda mereka terlanggar tembok ketika mengejar sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Saifuddin berharap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Beliau turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal ibadah dan jasa baktinya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.