KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly menuntut keadilan berhubung kematian lelaki berusia 42 tahun itu ketika dalam tahanan polis, selain mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Adik Allahyarham, Nooranis, berkata pihak keluarga berharap ahli-ahli Parlimen dapat membawa serta membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat.
Selain itu, keluarga turut meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan status siasatan serta menjawab dakwaan berkaitan kecederaan yang dialami Noorizwan dan tindakan yang telah diambil terhadap anggota polis yang didakwa terlibat.
“Kami turut menuntut supaya semua pelaku ditahan dan digantung tugas serta didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, daripada hari pertama sidang media sehingga hari ini, selepas 27 hari, masih belum ada sebarang tangkapan dibuat. Jadi, hendak tunggu apa lagi?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada beberapa ahli Parlimen di sini pada Selasa.
Terdahulu, keluarga mangsa bersama peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Tugu Negara ke bangunan Parlimen bermula jam 10.30 pagi bagi menyerahkan Memorandum Seruan Untuk Tindakan Parlimen Berhubung Mangsa Kematian Dalam Tahanan Polis Noorizwan serta tuntutan penubuhan IPCMC.
Memorandum itu diserahkan oleh Nooranis bersama peguam Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied, kepada Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Omar A. Manap.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Noorizwan sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkaitan siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.