KUALA LIPIS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Pahang mengambil inisiatif membangunkan tapak komersial dalam radius 15 hingga 16 kilometer dari stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai usaha untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif diambil sebagai persediaan menerima limpahan pelancong yang menggunakan pengangkutan berkenaan.
"Saya telah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengkaji lebih lanjut (pembinaan tapak komersial) supaya dapat memberi manfaat kepada orang-orang Pahang.
"Dalam keadaan belum ada kereta api laju (ECRL) ni pun kesannya banyak. Kadar pengangguran kita berjaya kurangkan, kadar pelancong datang ke Pahang dipertingkatkan dan apatah lagi dengan ada ECRL yang meliputi tujuh stesen di Pahang yang panjangnya 150 kilometer dan akan berlaku limpahan ekonomi.
"Sehubungan itu, saya harap rakyat Pahang bersedia untuk menerima kehadiran pelancong. kampung-Kampung, pengangkutan kita akan pertingkatkan supaya jaringan pengangkutan pergi ke stesen akan dipermudahkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Town Hall Rakyat (THR) Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, sebuah pangsapuri mampu milik juga akan dibangunkan di Bentong bagi menyokong limpahan ekonomi di kawasan berkenaan.
"Kami telah pun membuat pecah tanah untuk membuat pangsapuri mampu milik di Bentong yang akan dibina bila-bila masa," katanya.