KOTA KINABALU - Peranan agensi di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diselaraskan bagi memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan isu pengeluaran dan bekalan dapat ditangani secara bersepadu dengan pemantauan harga serta penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Peranan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta agensi dan pihak berkepentingan lain di peringkat negeri dan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di peringkat Persekutuan perlu diselaraskan berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing.
"Penyelarasan ini penting supaya isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga dan penguatkuasaan.
"Ini sekali gus membantu memastikan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga yang berpatutan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang diadakan di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini pada Isnin.
Katanya, mesyuarat tersebut adalah bagi meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, di samping membincangkan penyelarasan tindakan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
"Ini termasuk memperkukuh peraturan yang berkaitan, di samping meneliti aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan," tambahnya.
Armizan berkata, usaha penyelarasan berkenaan turut menjadi asas kepada pembentukan mekanisme lebih berkesan dalam menangani isu bekalan dan harga barangan keperluan berkenaan melalui kerjasama erat antara kedua-dua peringkat kerajaan.
"Ini juga akan menjadi asas kepada mekanisme yang lebih berkesan dalam menangani isu bekalan dan harga, melalui perkongsian maklumat yang lebih baik, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan yang berkesan.
"Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah kekal terjamin dan dapat diperoleh pada harga yang berpatutan," katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bersama wakil jabatan dan agensi berkaitan.