KUALA LUMPUR – Sebanyak 28,401 lesen perniagaan dibatalkan dalam tempoh tiga tahun menerusi 10,248 operasi bersepadu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menangani isu pencerobohan perniagaan tempatan oleh warga asing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembatalan lesen itu merupakan sebahagian daripada 100,366 tindakan penguatkuasaan yang diambil di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, tindakan lain yang dilaksanakan termasuk pengeluaran 65,023 kompaun dan 6,942 tindakan sitaan serta perobohan premis bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan.
“Bersama agensi rakan strategik seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), KPKT telah mengambil tindakan tegas bagi mengekang warga asing berniaga secara haram di premis perniagaan seluruh negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan pemegang lesen tempatan yang melanggar syarat pelesenan seperti amalan ‘Ali Baba’ atau penyewaan premis kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan secara haram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Kor Ming berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan pemegang lesen tempatan mematuhi peraturan ditetapkan, khususnya berkaitan penggunaan premis perniagaan oleh pihak yang tidak dibenarkan.
Beliau turut menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan peluang perniagaan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
“Kami akan terus komited dalam mempertahankan hak peniaga tempatan dan memastikan peluang perniagaan yang disediakan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat,” tegasnya.
Dalam usaha memperkasa usahawan tempatan pula, Kor Ming memaklumkan, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah melaksanakan 107 projek pembinaan Gerai Madani dan menaik taraf pasar awam uzur dengan peruntukan RM60 juta pada 2026.
Katanya, usaha itu akan terus dipergiatkan pada 2027 dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.
"Langkah ini bertujuan menyediakan kemudahan perniagaan dan pasar awam yang lebih selamat, bersih dan selesa demi manfaat peniaga serta pengunjung,” ujar beliau.