GEORGE TOWN – Penduduk di Pulau Pinang diminta berwaspada terhadap risiko banjir kilat dan tanah runtuh susulan hujan berterusan serta fenomena air pasang yang meningkatkan kemungkinan kejadian berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berlaku dari 24 hingga 26 Oktober.
Menurutnya, hujan lebat berterusan bersama paras air pasang tinggi boleh menyebabkan banjir kilat, manakala keadaan tanah yang tepu air meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh.
“Hujan lebat berterusan dan paras air pasang tinggi seperti yang kita lihat, banjir kilat boleh berlaku. Kita menasihatkan semua orang supaya sentiasa berwaspada.
"Cerun juga perlu diberi perhatian kerana tanah boleh menjadi longgar selepas hujan berpanjangan, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh,” katanya ketika ditemui media di lokasi tanah runtuh di Paya Terubong di sini pada Ahad.
Beliau berkata, agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, beberapa kawasan di Pulau Pinang turut dilaporkan mengalami kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat sejak malam Jumaat.
Antara lokasi terjejas ialah Lorong Gangsa, Lebuh Bukit Jambul, Lebuh Halia 1, Jalan Mayang Pasir berhampiran Pasar Bayan Baru, Lintang Bukit Jambul, padang terbuka di Macallum, Taman Sri Nibong, Lengkok Hijau, Gertak Sanggul dan Jalan Paya Terubong.
Kejadian turut dilaporkan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu Uban serta Golden Triangle 2.
"Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan terjejas terutama laluan berbukit yang berisiko akibat pokok tumbang, permukaan jalan licin dan keadaan cerun tidak stabil," ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, sehingga jam 2 petang, sebanyak 14 kes membabitkan pokok tumbang dan dahan patah direkodkan termasuk 13 kes pokok tumbang dan satu kes dahan patah.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan kes berjaya diselesaikan, manakala kerja pembersihan bagi lima kes lagi masih dijalankan.
"Dua daripada insiden berkenaan turut membabitkan kenderaan dan semua kerja pembersihan dijangka selesai pada hari ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah, hujan lebat dan air pasang menyebabkan banjir serta takungan air di 10 lokasi di daerah Timur Laut dan Barat Daya, di bahagian pulau.
Rajendran berkata, jumlah taburan hujan yang direkodkan antara jam 1 pagi hingga 11 pagi ialah 117 milimeter (mm) di stesen Kolam Bersih manakala stesen Kolam Air Itam mencatatkan 97.5mm.
Menurutnya, banjir di daerah Timur Laut berpunca daripada hujan lebat berpanjangan, air pasang tinggi serta limpahan Sungai Pinang, manakala keadaan muka bumi rendah menyumbang kepada kejadian banjir di daerah Barat Daya.
"Antara kawasan terjejas di daerah Timur Laut ialah Lintang P. Ramlee, Jalan P. Ramlee, Jalan Kampung Relau, Jalan Patani, Lilitan Stadium, Kampung Masjid Hashim Yahya dan Lorong Kulit, dengan paras air dilaporkan mencecah kira-kira 50 sentimeter.
"Di daerah Barat Daya pula, banjir dilaporkan di Kampung Sulup, Kampung Masjid dan Kampung Paya dengan paras air sekitar 30cm," katanya.
Bagi menangani masalah itu, beliau berkata, tindakan segera termasuk kerja pembersihan sistem perparitan di kawasan terjejas dilaksanakan manakala penyelesaian jangka panjang melibatkan projek tebatan banjir Sungai Pinang oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.