Ekonomi gig: Rezeki atau jaminan

Iklan
Dianggarkan terdapat sekitar 31 hingga 34 syarikat e-hailing dan p-hailing yang berdaftar di Malaysia, manakala kira-kira 600,000 individu terlibat dalam sektor tersebut. Foto hiasan

PERKEMBANGAN teknologi digital telah mengubah landskap pasaran buruh negara. Jika dahulu pekerjaan lazimnya dikaitkan dengan waktu bekerja yang tetap, majikan dan gaji bulanan, kini semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menjana pendapatan melalui ekonomi gig seperti Grab, Foodpanda dan pelbagai platform digital lain.

Dianggarkan terdapat sekitar 31 hingga 34 syarikat e-hailing dan p-hailing yang berdaftar di Malaysia, manakala kira-kira 600,000 individu terlibat dalam sektor tersebut.

Iklan
Iklan

Angka ini menggambarkan betapa pentingnya ekonomi gig sebagai sumber pendapatan, khususnya bagi golongan muda dan mereka yang memerlukan pekerjaan yang lebih fleksibel.

Bayangkan sekiranya para peserta e-hailing dan p-hailing ini 'bercuti' selama seminggu. Sudah pasti aktiviti ekonomi boleh terencat akibat kebergantungan yang tinggi terhadap perkhidmatan tersebut.

Iklan

Namun, di sebalik peluang yang ditawarkan, timbul persoalan penting. Adakah ekonomi gig mampu menyediakan kehidupan yang lebih terjamin kepada para pekerjanya?

Hakikatnya, pendapatan pekerja gig tidak menentu kerana bergantung pada jumlah tempahan, kadar bayaran dan waktu bekerja.

Iklan

Malah, pendapatan kasar yang kelihatan menarik belum tentu menggambarkan kedudukan kewangan sebenar selepas mengambil kira kos petrol, penyelenggaraan kenderaan, insurans dan masa menunggu pelanggan.

Sudah pasti keadaan ini akan menjejaskan pendapatan boleh guna para peserta gig.

Lebih membimbangkan, sebahagian pekerja gig tidak mempunyai simpanan persaraan dan perlindungan sosial yang mencukupi. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada kesulitan kewangan apabila ditimpa kemalangan, mengalami masalah kesihatan atau mencapai usia persaraan.

Justeru, langkah dalam Belanjawan 2027 yang memberi perhatian kepada peningkatan pendapatan, insentif caruman KWSP menerusi i-Saraan dan perlindungan PERKESO merupakan suatu perkembangan penting.

Bagaimanapun, bantuan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Syarikat penyedia platform juga perlu memainkan peranan dalam memastikan struktur bayaran yang lebih telus dan adil.

Ini kerana industri platform digital cenderung membentuk struktur pasaran oligopoli iaitu keadaan apabila beberapa syarikat besar menguasai sebahagian besar pasaran.

Kedudukan ini berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan kuasa tawar-menawar antara syarikat platform dengan peserta gig.

Dalam konteks ini, dasar persaingan yang berkesan serta mekanisme rundingan antara kerajaan, penyedia platform dan wakil peserta gig amat diperlukan.

Namun, perbincangan mengenai masa depan ekonomi gig tidak seharusnya terbatas kepada soal perlindungan sosial semata-mata. Malaysia perlu melihat ekonomi gig sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan dan peningkatan produktiviti negara.

Peluang dalam ekonomi gig tidak semestinya terhad kepada sektor penghantaran makanan dan pengangkutan. Ia turut merangkumi perkhidmatan profesional seperti pengaturcaraan komputer, analisis data, perakaunan, reka bentuk grafik dan khidmat perundingan.

Graduan daripada pelbagai bidang seperti kejuruteraan, seni bina, sains gunaan, perniagaan, ekonomi dan perakaunan boleh mempertimbangkan peluang dalam sektor gig yang berpotensi membantu usahawan di peringkat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Selain itu, dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, pekerja berkemahiran tinggi berpeluang menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsa tanpa perlu meninggalkan tanah air.

Oleh itu, pelaburan dalam latihan kemahiran, pendidikan digital dan pembangunan keusahawanan perlu diperkukuh supaya pekerja gig mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan serta mobiliti kerjaya.

Akhirnya, kejayaan ekonomi gig tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penyertaan pekerja semata-mata, tetapi sejauh mana industri ini mampu meningkatkan taraf hidup, produktiviti dan keselamatan kewangan mereka.

Ekonomi gig sepatutnya menjadi landasan mobiliti ekonomi, bukannya perangkap pendapatan rendah.

*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad