DUNGUN – Hasrat tiga sekeluarga untuk pulang ke Kelantan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Zulkefli Ishak, 32, dan isterinya, Norshila Zali, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Seorang lagi mangsa, yang juga adik kepada Mohamad Zulkefli, iaitu Muhammad Alif Syukri Ishak, 18, pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina itu sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan.
Jelas beliau, mangsa dikatakan baru selesai menjemput Muhammad Alif Syukri, yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu Mohamad Zulkefli tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di laluan bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan Mohamad Zulkefli dan isterinya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Alif Syukri meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.
Tambah Nik Ab. Halim, bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa akan dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.