Kakitangan MARDI maut disengat lebah ketika ambil madu

Iklan
Seorang kakitangan MARDI maut selepas disengat lebah ketika mengambil madu di kawasan ladang milik agensi berkenaan di Ayer Putih dekat sini semalam. - Gambar hiasan

CHUKAI - Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut selepas disengat lebah ketika mengambil madu di kawasan ladang milik agensi berkenaan di Ayer Putih dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata kejadian pada 9.50 pagi itu berlaku ketika mangsa Hafizul Mat, 40, yang bekerja sebagai pembantu am bersama seorang rakan sekerjanya berada di MARDI Cawangan Kemaman di Kilometer 18, Jalan Ayer Putih.

Iklan
Iklan

"Rakan sekerja mangsa yang berusia 44 tahun telah menasihatinya supaya tidak mengambil madu berkenaan kerana sarang lebah itu berada di atas pokok kering setinggi kira-kira tiga meter, namun mangsa berkeras untuk meneruskan hasratnya.

"Mangsa meminta rakannya menunggu kira-kira 50 meter dari sarang lebah itu dan dia memanjat pokok berkenaan sebelum diserang sekumpulan lebah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata ketika berada di atas pokok mangsa menjerit kepada rakannya supaya lari kerana lebah telah mengerumuni mangsa, sebelum turun dari pokok dan terus masuk ke dalam lopak air berdekatan bagi mengelakkan disengat lebah.

Mohd Razi berkata selepas itu mangsa memaklumkan kaki dan tangannya berasa sakit akibat disengat sebelum keluar dari lopak air dan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kekejangan.

Iklan

"Rakan mangsa kemudian meminta bantuan dua lagi rakan sekerja sebelum menghubungi pihak ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Razi bagaimanapun berkata pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 6.42 petang.