Usahawan perlu rebut peluang menerusi ECRL – Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy bergambar pada program turun padang bersama usahawan Bumiputera Zon Timur dan Karnival Aspirasi Pahang 1st di Kuantan pada Ahad.

KUANTAN – Seramai 153,436 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Zon Timur perlu bersedia merebut peluang ekonomi susulan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan bermula Disember ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECRL bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi, pelancongan, logistik dan perdagangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkembangan itu boleh membuka peluang kepada usahawan tempatan dalam pelbagai bidang termasuk makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan, pembekalan barangan serta perkhidmatan sokongan.

“Saya berharap usahawan Bumiputera dapat membuat persediaan daripada sekarang, meningkatkan mutu perkhidmatan dan memastikan produk yang ditawarkan mampu memenuhi permintaan pasaran.

Iklan

“Kita mahu PMKS tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati kepada pembangunan ini, tetapi turut menjadi sebahagian daripada penerima manfaat dan penggerak pertumbuhan ekonomi Zon Timur,” katanya.

Wan Rosdy (tengah) melancarkan Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program turun padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) bersama usahawan Bumiputera Zon Timur dan Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) di sini pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan penjimatan masa perjalanan menerusi ECRL mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke Pantai Timur.

Menurutnya, Pahang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang boleh diketengahkan bagi menarik lebih ramai pengunjung, termasuk keindahan pulau, kepelbagaian makanan tempatan serta destinasi alam semula jadi.

“Apabila mereka datang ke sini, Negeri Pahang kena menawarkan sesuatu. Kalau mereka datang tetapi tidak dapat melihat apa-apa pun, tidak ada maknanya,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Penasihat Khas PMKS Kebangsaan berkata, usahawan perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan dengan menjaga kualiti produk, menambah baik perkhidmatan dan meneroka peluang baharu.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Pahang supaya terus menyokong produk tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran karnival usahawan berikutan manfaat yang diperoleh menerusi program berkenaan.

Katanya, karnival itu menjadi platform kepada pengunjung untuk mengenali pelbagai produk, selain memberi ruang kepada usahawan baharu mendapatkan maklumat mengenai perniagaan.

“Kadangkala, terdapat produk yang belum pernah kita lihat sebelum ini. Program seperti ini juga memberi peluang kepada mereka yang baru memulakan perniagaan untuk bertanya mengenai cara memulakan perniagaan.

“Kita mempunyai SMECORP yang boleh membantu usahawan mendapatkan khidmat bantuan, termasuk pembiayaan modal,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran program itu turut memberi ruang kepada orang ramai meluangkan masa bersama keluarga sambil melihat produk serta mendapatkan maklumat dan pengetahuan baharu.

“Karnival usahawan seterusnya akan diadakan di Bentong, Cameron Highlands dan Lipis,” katanya.