TVET perlu bersedia untuk teknologi kuantum, bukan AI sahaja - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) melakukan simbolik Perasmian Ekspo TVET@KKDW 2026 di Sungai Besar pada Ahad.

SUNGAI BESAR - Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu mula bersedia menghadapi perkembangan teknologi kuantum dan tidak hanya menumpukan penguasaan kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persediaan itu penting bagi memastikan tenaga mahir negara bukan sahaja mampu memenuhi keperluan industri semasa, malah bersedia menghadapi perubahan teknologi masa depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, institusi TVET perlu memperkukuh pendedahan pengajar kepada teknologi baharu, memperbaharui kurikulum secara berterusan serta memperluas kerjasama dengan industri.

"Pengajar perlu mendapat pendedahan lebih awal, kurikulum mesti sentiasa diperbaharui dan kerjasama industri perlu membuka akses kepada teknologi baharu.

Iklan

"Kita mesti melatih anak-anak untuk keperluan hari ini, sambil menyediakan mereka bagi peluang hari esok,"katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW 2026 di Stadium Sungai Besar di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid memberitahu, keperluan melihat perkembangan teknologi melangkaui AI turut mendorongnya mencadangkan penubuhan Jabatan Kuantum yang berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti ketika berada di Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, persediaan menghadapi perkembangan teknologi masa depan perlu menjadi sebahagian daripada usaha membudayakan kecemerlangan dalam institusi TVET di bawah KKDW.

Dalam pada itu, katanya, seramai 1,000 belia Bumiputera disasarkan mendapat penempatan pekerjaan dalam sektor berpertumbuhan tinggi menerusi usaha memperkukuh Pendidikan TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau menjelaskan, sasaran itu merupakan antara inisiatif dalam Belanjawan tahun depan bagi memperluas peluang pekerjaan kepada golongan belia khususnya dalam sektor memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Usaha ini turut menekankan kepentingan memastikan latihan kemahiran diberikan selari dengan keperluan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyediakan laluan kerjaya lebih baik," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, KKDW menggariskan tiga inisiatif strategik TVET secara berfasa.

Katanya, inisiatif itu termasuk Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW, TVET Jana Desa serta Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW.

"Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW memberi tumpuan kepada persetujuan bersama majikan berhubung kompetensi, syarat penempatan dan pakej gaji bagi program terpilih sebelum pengambilan pelatih," jelas beliau.

Menurut beliau, pendekatan itu turut membabitkan penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum dan penilaian bagi memastikan latihan diberikan memenuhi kehendak majikan.

Sementara itu, katanya, TVET Jana Desa bertujuan menggalakkan graduan membina perusahaan teknikal dan mewujudkan peluang pekerjaan di daerah sendiri termasuk dalam bidang penyelenggaraan jentera pertanian, pam dan sistem penyejukan.

"Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW pula memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian teknikal melalui pemantauan mesin, automasi kecerdasan buatan (AI) dan kecekapan tenaga bagi membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi," jelas beliau.

Selain itu, katanya, kemahiran pendawaian GIATMARA turut dimanfaatkan bagi membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah keluarga miskin.

"Pelaksanaan inisiatif ini akan diperincikan bersama agensi pelaksana dan rakan industri termasuk dari segi institusi terlibat, pembiayaan serta sasaran keberhasilan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasaran," tambah beliau.