Jalur Gemilang dikibar terbalik di Melbourne

Iklan
Mustapa menyifatkan, tindakan sekumpulan individu memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik berisiko menjejaskan reputasi rakyat Malaysia.

KOTA KINABALU - Tindakan sekumpulan individu memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik dalam satu demonstrasi di Melbourne, Australia berisiko menjejaskan reputasi rakyat Malaysia yang sedang belajar dan bekerja di negara berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kerajaan Madani menjamin kebebasan bersuara, namun setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.

Iklan
Iklan

"Tindakan sekumpulan rakyat Malaysia yang menghina Jalur Gemilang di luar negara hanya berisiko menjejaskan reputasi rakyat Malaysia yang belajar dan bekerja di negara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut menegaskan bahawa perbuatan menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.

Iklan

"Menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan langsung budaya warga Sabah dan Sarawak yang penuh adab dan santun," katanya.

Kenyataan itu susulan tindakan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia yang mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne bersempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan

Menerusi hantaran kentaraan media di Facebook Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SSKM, kumpulan itu turut memuat naik poster kenyataan media bertarikh 24 Oktober 2026 dengan tajuk 'Bendera Malaysia Diterbalikkan Sebagai Seruan Agar Suara Sabah dan Sarawak Didengari'.

Poster berkenaan turut memaparkan sekumpulan individu memegang bendera Sabah dan Sarawak dan beberapa plakad yang mengandungi mesej berkaitan hak serta masa depan kedua-dua negeri itu.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) suatu ketika dahulu dianggap sebagai isu sensitif, namun keadaan itu kini berubah apabila perkara berkenaan boleh dibincangkan secara terbuka.

"Ada yang ditahan pihak berkuasa dan berdepan dengan tindakan undang-undang. Hari ini, hak Sabah dan Sarawak boleh dibincangkan secara terbuka, malah menjadi agenda utama kerajaan Madani.

"Dalam tempoh hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 12 perkara MA63 berjaya diselesaikan, manakala pemberian khas interim Sabah meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun. Rundingan tuntutan 40 peratus Sabah pula terus berjalan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan berbanding tindakan provokasi seumpama itu.

"Oleh itu, orang ramai digalakkan membuat aduan rasmi kepada pihak polis supaya kandungan media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik disiasat mengikut undang-undang yang terpakai," katanya.