GEORGE TOWN – Bunyi kuat seperti guruh mengejutkan seorang penduduk yang sedang tidur apabila kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira jam 8.02 pagi pada Ahad.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30-an, berkata, bunyi runtuhan itu sangat kuat memandangkan lokasi kejadian terletak hanya 20 meter dari kediamannya.
Menurutnya, dia yang sudah menetap di kawasan berkenaan lebih 30 tahun bersama isteri serta ibu bapanya segera keluar untuk melihat apa yang berlaku sebaik terdengar bunyi berkenaan.
“Saya kemudian keluar untuk melihat keadaan dan mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lim berkata, dia mengenali mangsa yang juga jirannya itu berdasarkan kebiasaan melihat lelaki berkenaan melakukan kerja berkebun pada setiap hujung minggu.
Menurutnya, mangsa dipercayai berusia lingkungan 60-an dan merupakan seorang doktor yang tinggal di situ bersama seorang lagi individu dipercayai isterinya.
Kejadian bukan kali pertama
Bercerita lanjut, Lim berkata, kejadian tanah runtuh itu bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan kerana insiden sama pernah dilaporkan kira-kira 10 tahun lalu berhampiran sebuah kuil kecil di bahagian belakang kawasan itu.
Menurutnya, kawasan tanah runtuh terdahulu sudah dibaiki namun penduduk tetap bimbang apabila cadangan pembangunan bangunan tinggi setinggi 47 tingkat diteruskan di kawasan berkenaan.
“Sejak dahulu lagi, setiap kali hujan lebat, lumpur sering mengalir hingga menutupi jalan. Setakat yang saya lihat, tindakan pihak pemaju hanya menghantar pekerja untuk membersihkan jalan berkenaan.
“Apabila hujan lebat dari bulan ke bulan, keadaan itu berulang dan menyebabkan kami sentiasa berasa bimbang,” katanya.
Lim berkata, dia pernah membuat aduan mengenai keadaan itu namun mengakui sukar mengemukakan bukti kukuh kerana bukan pakar dalam bidang berkaitan.
Katanya, penduduk hanya mampu menyuarakan kebimbangan berdasarkan keadaan yang dilihat sendiri terutama apabila kejadian seumpama itu berulang setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, penduduk di taman perumahan berkenaan juga pernah membantah projek pembangunan itu namun projek berkenaan tetap diteruskan.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang didengarinya daripada penduduk lain, pembangunan itu pada asalnya dikatakan dirancang setinggi 20 tingkat sebelum didakwa bertukar kepada projek bangunan tinggi kira-kira 47 tingkat selepas berlaku perubahan pemaju.
Bagaimanapun, Lim menegaskan bahawa maklumat berkenaan hanya berdasarkan perkara yang didengarinya dan dia tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
“Penduduk memang menentang projek itu, tetapi ia tetap diteruskan. Kami sudah lama tinggal di sini dan setiap kali hujan lebat, kami berasa takut kerana kawasan pembangunan itu terletak berhampiran kediaman.
“Jalan Bukit Kukus juga sudah terkenal dengan kejadian tanah runtuh sebelum ini. Jadi, kami tertanya-tanya bagaimana projek seperti ini boleh diluluskan,” katanya.
BERITA BERKAITAN: Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di belakang rumah
Lim berharap kebimbangan penduduk diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan penduduk setempat, tanpa perlu menunggu sehingga kejadian buruk berlaku.
Terdahulu, seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.10 pagi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.