'Nak akses lambat, tutup dan guna Waze'

Iklan
Hasrat kerajaan untuk mengharamkan penggunaan aplikasi navigasi Waze perlu diteliti semula selagi aplikasi tempatan yang dibangunkan sebagai alternatif masih belum bersedia sepenuhnya untuk digunakan orang ramai.

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan untuk mengharamkan penggunaan aplikasi navigasi Waze perlu diteliti semula selagi aplikasi tempatan yang dibangunkan sebagai alternatif masih belum bersedia sepenuhnya untuk digunakan orang ramai.

Rata-rata pengguna berpandangan, usaha menggalakkan penggunaan produk teknologi tempatan wajar disokong, namun aplikasi berkenaan perlu dipertingkatkan terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Pesara, Fauzi Pasilon, 54, berkata, aplikasi tempatan perlu dilakukan penambahbaikan sebelum pengguna diminta beralih kepada yang sudah biasa digunakan.

Menurutnya, tidak dinafikan setiap aplikasi mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri, namun aspek ketepatan panduan perjalanan dan kemudahan penggunaan sangat perlu diberikan perhatian.

Iklan

“Kalau nak rakyat guna produk Malaysia, aplikasi itu perlu dinaik taraf lagi.

"Bagi saya, Google Maps boleh digunakan sebagai alternatif, tetapi aplikasi tempatan juga perlu dipertingkatkan supaya lebih baik sebab ramai yang tidak berpuas hati, risau nanti dikatakan kuno pula,” ujarnya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Sementara itu, jurubank, Siti Nor Hasima Mohd Yusof, 37, berpendapat, penggunaan Waze masih menjadi pilihan kerana aplikasi itu memudahkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih cepat dan selesa.

Jelasnya, dia pernah mencuba aplikasi navigasi tempatan, namun mendapati proses mengaksesnya agak lambat.

“Kalau kerajaan nak menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi tempatan, ia mestilah benar-benar bersedia dari segi teknologi dan fungsinya.

“Apabila semuanya sudah stabil dan mudah digunakan, barulah kita boleh menyarankan rakyat beralih kepada aplikasi baharu. Saya sendiri sudah tentu akan menyokong produk Malaysia,” katanya.

Kakitangan swasta, Muhazri Yahya, 32, pula memberitahu, aplikasi tempatan berpotensi menjadi pilihan rakyat sekiranya dibangunkan secara menyeluruh dan setanding dengan aplikasi luar negara.

“Bagi saya, kerajaan perlu menyediakan aplikasi yang betul-betul mantap terlebih dahulu sebelum melaksanakan rancangan seperti ini. Jangan sampai tindakan itu akhirnya menyusahkan rakyat.

“Saya sudah mencuba aplikasi tempatan, tetapi apabila hendak menggunakannya untuk mencari laluan, saya dapati ia belum cukup stabil. Jadi, saya tutup semula dan terus menggunakan Waze,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi tempatan perlu dilakukan secara serius dengan sokongan pasukan teknikal yang berkemampuan bagi memastikan mutu perkhidmatannya dapat ditingkatkan.

“Kalau aplikasi Malaysia sama baik dengan aplikasi luar negara, saya akan sokong 100 peratus. Cuma, pastikan ia betul-betul berfungsi sebelum minta rakyat menggunakannya,” ujarnya.