Perihal vokal bahasa Melayu

Iklan

PADA kali ini kita berceloteh tentang vokal dalam sistem tulisan Rumi bahasa kebangsaan kita. Vokal tersebut ialah"a”,"e”,"i”,"o”, dan"u”. Vokal-vokal itu, sekiranya ditulis, dikenali sebagai huruf vokal. Apabila dibaca daripada tulisan, dilafazkan atau dibunyikan oleh penutur, kesemuanya dikenali sebagai bunyi vokal.

Kelihatannya huruf vokal dan bunyi vokal merupakan unsur yang sama. Sebenarnya, huruf vokal dan bunyi vokal dalam bahasa Melayu berbeza dari segi jumlahnya. Sekiranya ditulis, vokal terdiri daripada lima huruf seperti senarai di atas, tetapi dalam pertuturan vokal mengandungi enam bunyi.

Iklan
Iklan

Keadaan tersebut wujud semenjak berkuat kuasa sistem ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu pada tahun 1972. Dalam sistem ejaan lama sebelum itu, huruf dan bunyi vokal masing-masing berjumlah enam.

Empat daripada huruf vokal tersebut membawa satu bunyi sahaja. Satu lagi huruf vokal, iaitu huruf"e”, dapat membawa dua bunyi.

Iklan

Perhatikan perkataan lebar dan beras sebagai contoh. Dalam penulisan, kedua-dua huruf"e” itu sama bentuknya. Namun begitu, apabila dibunyikan perkataan-perkataan itu, huruf"e” mempunyai sebutan yang berbeza. Huruf"e” dalam perkataan lebar berbunyi [e], tetapi huruf"e” dalam perkataan beras berbunyi [∂].

Dengan berdasarkan bunyi yang berlainan itu, huruf"e” terbahagi kepada dua jenis, iaitu huruf"e” yang berbunyi [e], dipanggil"e taling”, dan huruf"e” yang berbunyi [∂], dikenali sebagai"e pepet”.

Iklan

Keadaan ini mungkin mengelirukan segelintir pengguna bahasa Melayu.

Oleh hal yang demikian, pengguna bahasa perlu memastikan jenis"e” terlebih dahulu sebelum menyebut bunyinya semasa membaca teks atau ketika bertutur. Kelainan bunyi itu berkemungkinan dapat menimbulkan makna yang berbeza.

Beberapa perkataan yang menggunakan huruf"e” boleh disebut sama ada dengan bunyi"e taling” atau dengan bunyi"e pepet”, tetapi membawa maksud yang berlainan.

Antara perkataannya ialah rendang, semak, selak, bela, dan perang. Perkataan rendang umpamanya, merupakan sejenis warna sekiranya disebut dengan bunyi"e taling”, tetapi bermaksud perkelahian jika disebut dengan bunyi"e pepet”.

Perkataan bestari (pandai, berbudi pekerti baik), erat (kemas, kukuh, rapat), dan esa (tunggal) selalu disebutkan dengan bunyi"e taling”. Huruf"e” pada perkataan-perkataan itu sepatutnya dibunyikan sebagai"e pepet”.

Sebaliknya, perkataan-perkataan tertentu sering disebutkan sebagai bunyi"e pepet”, seperti peka (mudah berasa, tidak lalai) dan debat (perbincangan dengan memberikan hujah). Sepatutnya,"e” dalam perkataan-perkataan itu perlu dibunyikan dengan bunyi"e taling”.

Keadaan akan menjadi lebih mengelirukan penutur sekiramya kedua-dua jenis"e” itu wujud dalam satu perkataan. Perkataan yang biasa seperti kerepek, keledek, dan cerewet, barangkali tidak menimbulkan masalah. Namun begitu, perkataan semester (tempoh setengah tahun dalam pengajian di institusi pendidikan tinggi) selalu dibunyikan sebagai"e pepet” kesemuanya, sedangkan"e” pertama dan"e” kedua merupakan"e taling”, dan"e” ketiga ialah"e pepet”.

Selain itu, kemungkinan ada pengguna bahasa yang bermasalah dengan beberapa perkataan yang kelihatan hampir serupa, antaranya telor dengan telur, tempoh dengan tempuh, dan kelok dengan keluk.

Dalam hal ini, vokal pada suku kata terakhir bagi perkataan berkenaan menjadi penentu sama ada"e” tersebut merupakan"e pepet” atau"e taling”. Mengikut sistem pola keselarasan huruf vokal bahasa Melayu,"e pepet” berpasangan dengan"u”, manakala"e taling” berpasangan dengan"o”.

Ada pengguna bahasa yang menggabungkan dua atau tiga huruf vokal yang sama. Perkataan amin (yang disebut semasa berdoa) misalnya, ada yang ditulis sebagai aamiin untuk menggambarkan bahawa sebutan vokal"a” dan"i” itu panjang.

Pengejaan yang sedemikian tidak menghasilkan kepanjangan bunyi yang diingini. Yang terhasil ialah bunyi [a–a–mi–in], kerana setiap vokal itu mewakili satu bunyi. Kepanjangan vokal boleh dibunyikan mengikut keperluan walaupun penulisannya tidak menggunakan gabungan.

Demikianlah ragam vokal dalam bahasa Melayu. Setiap hurufnya mempunyai bunyinya yang tersendiri.

Sebagai penutur bahasa Melayu, kita perlu mengetahui peraturan asasnya supaya dapat menggunakannya dengan betul dan menghasilkan makna yang tepat.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka