KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan bahawa proses pemotongan bekalan air dan pengurusan permohonan semula sambungan di sebuah premis di Tanah Merah dilakukan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
AKSB menerusi Jabatan Korporatnya memaklumkan semua rekod berkaitan premis berkenaan direkodkan dalam sistem syarikat, termasuk proses pemotongan bekalan air dan penarikan semula deposit yang dilaksanakan pada 26 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan dibuat selepas pemilik premis didapati mempunyai bil tertunggak dalam tempoh yang panjang.
“Pemilik ini mempunyai bil tertunggak selama 14 bulan dengan tarikh akhir pembayaran bil yang direkodkan adalah pada 12 Mei tahun lalu. Tunggakan ini sudah pun dijelaskan.
“AKSB menepati prosedur standard sebelum membuat pemotongan bekalan di mana-mana premis pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di Facebook pada Selasa mengenai luahan seorang pelanggan yang mendakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan AKSB.
Antara aduan yang dibangkitkan ialah sistem pengurusan aduan yang didakwa ketinggalan dan lambat, selain masalah bekalan air yang didakwa kotor serta bercampur angin di premis berkenaan.
Menurut AKSB, pemilik premis hadir ke Pejabat AKSB Jajahan Tanah Merah pada 18 Oktober lalu bagi menjelaskan tunggakan bil serta menguruskan perkara berkaitan deposit yang telah ditarik balik.
Katanya, bagi urusan pendaftaran semula akaun yang telah dipotong dan deposit dibatalkan, pengguna perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti borang permohonan lengkap, salinan geran tanah, salinan kad pengenalan serta gambar premis.
“Perkara itu telah dimaklumkan kepada pengguna pada 19 Oktober lalu dan lawatan tapak ke premis berkenaan turut dilakukan pada hari yang sama.
“Malangnya, pengguna masih belum menghantar dokumen bagi tujuan pendaftaran sambungan semula sehingga kini,” menurut kenyataan itu.
Mengulas dakwaan berkaitan panggilan aduan, AKSB berkata semakan terperinci yang dibuat melalui Pintas Careline 15777 mendapati tiada rekod aduan berkaitan bekalan atau kualiti air daripada pengadu sebelum ini.
Sementara itu, berhubung isu kualiti air, AKSB memaklumkan pemeriksaan di lokasi aduan pada 21 Oktober lalu mendapati tiada sebarang masalah berkaitan bekalan daripada Loji Rawatan Air Batu Gajah mahupun kualiti air di kawasan terbabit.