Curi flamingo ketika mabuk, pelancong berdepan penjara empat tahun

Iklan
Mitchell Fairbarn sebak ketika memberi keterangan dalam perbicaraannya di Pusat Keadilan Wilayah, Las Vegas. Foto: Agensi

LAS VEGAS - Seorang pelancong Kanada berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun selepas didapati bersalah mencuri dan mencederakan seekor flamingo ketika mabuk di sebuah hotel kasino di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan The Independent pada Selasa, Mitchell Fairbarn dari Ontario disabitkan atas dua pertuduhan kekejaman terhadap haiwan oleh juri mahkamah Nevada pada Isnin.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, Fairbarn mengambil seekor flamingo Chile berusia 27 tahun bernama Peachy dari kawasan habitatnya di Flamingo Las Vegas Hotel and Casino sebelum membawanya ke bilik penginapan.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan lelaki itu membawa burung berkenaan menaiki lif dan berjalan di koridor hotel.

Iklan

Kehilangan haiwan tersebut disedari pihak keselamatan resort sebelum polis dipanggil untuk menjalankan siasatan.

Ketika ditemukan, Peachy mengalami kecederaan pada sayap, kesan darah pada bulunya serta kehilangan antara tujuh hingga lapan helai bulu.

Iklan

Pendakwa raya berhujah bahawa tertuduh sengaja menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.

Rakaman video turut menunjukkan flamingo itu mengeluarkan bunyi ketika dikendalikan, manakala bulunya ditemukan bertaburan di lantai hotel.

Bagaimanapun, peguam bela, Josh Tomsheck menegaskan anak guamnya tidak berniat mencederakan burung tersebut, sebaliknya bertindak secara melulu akibat pengaruh alkohol.

"Hakikatnya, Mitch mabuk. Dia bertindak bodoh dan membuat keputusan yang salah," katanya.

Pengarah Perubatan Hospital Haiwan Lone Mountain, Dr Tiffany Moore berkata, Peachy kini pulih daripada kecederaan fizikal tetapi masih menunjukkan tanda keresahan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan.

Fairbarn pula kini dikenakan tahanan rumah sementara menunggu keputusan hukuman yang dijadualkan pada 1 Disember depan.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun bagi kesalahan jenayah berat, selain kemungkinan tambahan enam bulan bagi pertuduhan kesalahan ringan.

Kes tersebut turut mendapat perhatian aktivis perlindungan haiwan yang berharap keputusan mahkamah menjadi pengajaran supaya orang ramai tidak mengganggu atau mencederakan hidupan liar. - Agensi