Tindakan Jefri keluar parti tidak jejas perjuangan Bersatu Jasin

Iklan
Mohamad Ali (empat dari kiri, duduk) mempengerusikan mesyuarat bersama Bersatu Jasin pada Ahad.

JASIN - Tindakan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jasin, Muhammad Jefri Safri keluar parti tidak menjejaskan komitmen dan kesetiaan barisan kepimpinan bahagian itu terhadap perjuangan parti.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, kepimpinan Bersatu Jasin kekal teguh dan bertekad meneruskan perjuangan demi kepentingan parti serta rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya kesal dengan keputusan Jefri kerana sebagai individu yang pernah menerajui kepimpinan bahagian, keputusan sedemikian sewajarnya dibuat dengan pertimbangan teliti serta mengambil kira kepentingan dan perjuangan parti.

“Kami bersama Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian serta barisan jawatankuasa bahagian kekal teguh bersama Bersatu dan bertekad untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan parti serta rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Muhammad Jefri mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Borang keahlian tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung Wawasan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika Program Lenggang Warisan Melaka 2026 anjuran Persatuan Sosialis Wanita Melaka (MeSWA) bersama Wanita Wawasan Melaka di Muzium Hang Tuah, Duyong.

Iklan

Jefri dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah tidak sehaluan dengan hala tuju politik selain kecewa dengan kepimpinan pusat Bersatu

Sementara itu Mohamad Ali berkata, perjuangan parti tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya berteraskan prinsip, amanah, kesetiaan dan komitmen bersama.

Justeru katanya, Bersatu Jasin akan terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, memelihara perpaduan dalam kalangan anggota serta memastikan parti terus bergerak dengan penuh keyakinan.