'Amukan' penunjuk perasaan gegar Perancis

Iklan
Kumpulan pemuda bertopeng memecah masuk dan menjarah premis perniagaan di Paris pada Sabtu. Foto AFP

PARIS - Perancis berdepan kemusnahan besar pada Ahad selepas gelombang protes membantah peningkatan kos sara hidup bertukar ganas hingga mencetuskan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan serta penjarahan besar-besaran dan tindakan membakar bangunan serta premis perniagaan di beberapa bandar.

Rusuhan itu berlaku beberapa minggu selepas protes pelajar dan menjelang pilihan raya bagi memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh enam bulan lagi.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Paris, Emmanuel Gregoire berkata, seluruh jalan utama di kota tersebut musnah teruk akibat perbuatan vandalisme kumpulan perusuh.

Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu dalam satu kenyataan mengecam keganasan itu yang disifatkan 'amat dahsyat'.

Iklan

Keganasan itu berlaku ketika perarakan membantah peningkatan kos sara hidup di ibu kota dan beberapa bandar lain. Kementerian Dalam Negeri menganggarkan seramai 550,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.

Kesatuan sekerja CGT yang turut mengambil bahagian pula mendakwa jumlah penunjuk perasaan mencecah 800,000 orang.

Iklan

Lautan demonstran membanjiri laluan utama sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air selepas sebahagian daripada mereka membaling objek serta mercun ke arah pihak berkuasa.

Puluhan kedai termasuk pasar raya, farmasi dan butik mewah di Paris, Marseille, Nice, Nantes, Bordeaux, Limoges, Lille, Toulouse dan Strasbourg turut dijarah oleh sekumpulan pemuda bertopeng.

Dewan bandar raya di Limoges yang berusia lebih 140 tahun dilaporkan hampir musnah akibat dibakar penunjuk perasaan. Dua lagi dewan bandar raya di Marseille dan Lille turut dipecah masuk.

Sebuah kompleks polis di Bordeaux juga menjadi sasaran vandalisme manakala penunjuk perasaan di Lyon membakar sebuah pejabat pelancongan.

Belgium, Portugal dan Itali turut menyaksikan demonstrasi berskala lebih kecil pada Sabtu susulan peningkatan kos sara hidup di Eropah manakala penunjuk perasaan di Albania sekali lagi berhimpun bagi membantah amalan rasuah dalam kerajaan, kekurangan peluang pekerjaan serta mutu pendidikan yang rendah. - Agensi