TEBING BARAT - Penceroboh Israel menyerang satu delegasi diplomatik yang terdiri daripada wakil Perancis, Belgium serta Poland termasuk petani Palestin pada Sabtu ketika mereka mengunjungi bandar Taybeh, di sini.
Menurut laporan Anadolu Ajansi memetik Datuk Bandar Taybeh, Suleiman Khourieh, serangan itu berlaku selepas majlis rasmi menandatangani perjanjian kerjasama antara bandar Taybeh, Palestin dan bandar Saint-Pierre, Perancis.
Majlis berkenaan turut dihadiri konsul Perancis dan Belgium, seorang wakil Poland serta Datuk Bandar Saint-Pierre, Christian Ravain.
Serangan menyasarkan delegasi berkenaan di bahagian barat bandar itu, selain petani Palestin yang sedang memetik buah zaitun.
Khourieh berkata, beberapa penduduk bandar berkenaan mengalami kecederaan.
Radio Tentera Israel yang memetik saksi dan rakaman video turut melaporkan bahawa penceroboh membaling batu ke arah salah sebuah kenderaan diplomatik sehingga menyebabkan cerminnya pecah.
Rakaman video menunjukkan seorang anggota delegasi terbaring di atas tanah selepas serangan itu.
Individu yang dilihat terbaring di sebelah kenderaan diplomatik itu ialah Bernard Boudot, seorang ahli politik Perancis dan Datuk Bandar Aulnoy-lez-Valenciennes di utara Perancis.
Terdapat individu yang mengiringi diplomat Eropah menghantar lokasi kejadian dan bukti video kepada bilik operasi tentera Israel dua minit kemudiannya.
Khourieh menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kesucian tugas diplomatik dan kemanusiaan selain sebahagian daripada sekatan berterusan yang dikenakan terhadap petani Palestin.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa lawatan delegasi konsular itu tidak diselaraskan dengannya terlebih dahulu, manakala polis Israel secara berasingan mengumumkan bahawa siasatan telah dibuka berhubung kejadian tersebut.
Serangan oleh penceroboh Israel terhadap rakyat Palestin serta tanah mereka meningkat terutamanya ketika musim menuai buah zaitun yang bermula pada awal Oktober dan ia menjadi sumber pendapatan penting bagi ribuan keluarga di wilayah tersebut.
Pertubuhan hak asasi Palestin, Israel dan antarabangsa menuduh pihak berkuasa Israel gagal menghentikan keganasan penceroboh atau membawa pelaku ke muka pengadilan, meskipun serangan menyasarkan rakyat Palestin, rumah, tanah pertanian, kenderaan dan harta benda lain.
Penempatan Israel yang dibina di atas tanah Palestin yang diduduki dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, manakala rakyat Palestin menegaskan hak mereka terhadap tanah berkenaan dan menolak cubaan merampasnya.
Sementara itu, Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot menerusi hantaran di X mengecam keras serangan dibuat penceroboh Israel bertopeng terhadap rakyat Palestin, diplomat dan wakil Katolik di Taybeh, Tebing Barat yang diduduki.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh penceroboh bertopeng di Taybeh, Tebing Barat yang diduduki terhadap rakyat Palestin, Konsul Jeneral kami, diplomat Perancis dan Poland serta wakil Katolik.
"Seorang datuk bandar Perancis diserang dan sebuah kenderaan Belgium mengalami kerosakan. Pasukan kami selamat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin berdepan keganasan seumpama hampir setiap hari, dengan penceroboh turut menyasarkan wartawan dan diplomat.
“Memetik buah zaitun, melaporkan berita atau menjalankan tugas diplomatik tidak sepatutnya menyebabkan sesiapa pun terdedah kepada risiko serangan,” tegasnya.
Prevot berkata, Belgium akan terus mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap keganasan itu termasuk penyokongnya.