KUALA BERANG - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi di dalam longkang di kawasan perumahan Padang Setengge dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, suspek, yang berumur 23 tahun, ditahan pada jam 3.30 petang di rumahnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, penahanan itu telah mendedahkan kelahiran dan penglibatan suspek dalam kes berkenaan sekali gus membolehkan penyelesaian kes dalam tempoh 24 jam.
"Bagaimanapun, bayi tersebut tidak dapat dipastikan sama ada lahir hidup atau mati, begitu juga sebab kematian... jantina bayi juga tidak dipastikan," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bernama semalam melaporkan seorang wanita menjumpai mayat seorang bayi tanpa beberapa anggota badan di dalam longkang ketika membasuh pakaian di belakang rumah di kawasan perumahan Padang Setengge, Kuala Berang. - Bernama