TONGOD - Pelajar di tiga sekolah menengah di daerah ini terpaksa mengulang kaji pelajaran dalam keadaan bergelap, susulan kerosakan dua transformer utama yang menjejaskan bekalan elektrik sejak minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pihaknya menerima aduan daripada guru dan ibu bapa mengenai kesukaran dihadapi pelajar yang terpaksa menggunakan lilin untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
Menurutnya, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Penangah dan SMK Entilibon.
"Saya mendapat aduan daripada guru dan ibu bapa bahawa pelajar terpaksa mengulang kaji menggunakan cahaya lilin di asrama dan di rumah sejak minggu lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik.
"Malah ketika ini calon bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menduduki semester akhir yang bermula 26 November ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Masiung berkata, susulan keadaan kritikal yang dihadapi itu, beliau mengesa pihak pengurusan Sabah Elektricity supaya menambah bilangan set janakuasa bergerak di tiga sekolah terbabit.
"Ini sebagai ihsan kepada calon peperiksaan SPM dan STPM untuk mereka belajar dan mengulang kaji pelajaran.
"Walaupun terdapat empat unit set janakuasa berkapasiti 2,000kW digerakkan sebagai sokongan sementara di Tongod, jumlah tenaga itu tidak dapat menampung dan menyebabkan operasi pendidikan tiga sekolah menengah itu terjejas," katanya.
Masiung sebelum itu, menerima maklumat daripada Sabah Electricity bahawa transformer yang membekalkan tenaga elektrik di Tongod mengalamai kerosakan sejak minggu lalu.