KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak perlu membentangkan belanjawan alternatif semata-mata untuk memenuhi tuntutan pihak tertentu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha membetulkan dasar kerajaan yang disifatkan tidak memberi manfaat optimum kepada negara dan rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat sepatutnya menjadi ruang untuk pembangkang mengemukakan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar kerajaan.
"Sebagai pembangkang, orang selalu minta supaya kita ada alternatif bajet, (persoalannya) boleh laksana atau pun tidak?
"Ini tidak boleh dilaksanakan dan tidak akan dilaksanakan, jadi kita syok sendiri sahaja. Sebab itu yang kita nak adalah beri pandangan terhadap bajet.
"Jadi apa yang kita lakukan adalah membetulkan polisi-polisi yang kita rasa tidak memberi manfaat lebih baik kepada negara dan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, pada Khamis.
Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dilapor mencabar Ketua Pembangkang untuk mengemukakan belanjawan alternatif yang memperincikan cara mengurangkan defisit fiskal tanpa menjejaskan pembangunan negara.
Cabaran itu susulan kritikan Hamzah terhadap Belanjawan 2027, yang menurutnya berisiko membebankan institusi strategik negara seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan keputusan kerajaan.
Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, pendirian pembangkang terhadap belanjawan perlu dilihat berdasarkan perbahasan dan proses pengundian di Dewan Rakyat.
Malah menurutnya, sesuatu belanjawan akan diluluskan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, manakala pembangkang menggunakan ruang perbahasan untuk mengetengahkan dasar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Sementara itu ketika ditanya sama ada pembangkang akan mengundi menyokong Belanjawan 2027, Hamzah meminta supaya pihaknya diberi ruang untuk membahaskan terlebih dahulu kandungan belanjawan berkenaan.
"Bila bahas, ada strategi-strategi kita. Kalau tidak, mereka kata (lebih baik) tak payah bahas, terus mengundi.
"Biarlah kita bahas dahulu," ujarnya.