Nahas Long Lellang: Helikopter terhempas miliki perakuan pendaftaran, kelayakan terbang

Iklan
Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

KUALA LUMPUR - Helikopter BO-105 yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu memiliki Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Kelayakan Terbang yang sah serta disahkan layak terbang ketika pelepasan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) turut mendapati juruterbang helikopter berkenaan memiliki lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah serta berkelayakan mengendalikan penerbangan tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan masih diteruskan dan laporan muktamad berhubung kemalangan udara berkenaan perlu disediakan dalam tempoh setahun daripada tarikh kejadian," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada 8 September lalu, helikopter yang membawa lima orang termasuk juruterbang, terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Iklan

Helikopter itu sedang mengendalikan penerbangan perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ke pedalaman Sarawak.

Mangsa yang maut ialah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, juruterbang Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.

Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

Dalam pada itu Anthony memaklumkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah melaksanakan Audit Pengawasan terhadap organisasi penyelenggaraan Layang Layang Aerospace pada 1 hingga 4 September lalu, dengan aktiviti susulan dan penutupan audit diselesaikan pada 6 September.

Menurutnya, audit tahunan itu dilaksanakan bagi membolehkan CAAM mempertimbangkan permohonan syarikat berkenaan untuk memperbaharui Kelulusan Organisasi Penyelenggaraan (AMO).

Jelas beliau, skop audit merangkumi pematuhan organisasi penyelenggaraan, pengurusan tenaga kerja, kawalan penyelenggaraan, pengurusan peralatan dan komponen pesawat serta Sistem Pengurusan Keselamatan (SMS).

"Hasil audit merekodkan tiga penemuan audit dan tiga pemerhatian, termasuk kelemahan kaedah pengiraan serta perancangan tenaga kerja, rekod serahan tugas penyelenggaraan yang tidak jelas bagi pemeriksaan berjadual tertentu dan dokumentasi prosedur kesinambungan operasi selepas kecemasan yang tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, penemuan itu bersifat organisasi dan tidak berkaitan secara langsung dengan keadaan teknikal helikopter 9M-LLF atau sistem pesawat yang terlibat dalam kemalangan berkenaan," jelasnya.