Laporan awal siasatan nahas helikopter Long Lellang dibentang kepada Kabinet esok - Anthony

Iklan
Anthony ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laporan awal siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati juruterbang helikopter BO105 milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu mempunyai lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF yang beroperasi di bawah kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut memiliki perakuan pendaftaran dan perakuan kelayakan terbang yang sah selain disahkan layak terbang ketika berlepas.

"Siasatan masih diteruskan dan satu laporan muktamad berhubung kemalangan udara ini perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh kemalangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.

Iklan

Anthony menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung tarikh audit keselamatan, audit pengawasan dan pemeriksaan terakhir Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke atas operator helikopter terbabit pascanahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden. 

Selain itu, Anthony berkata, CAAM telah melaksanakan audit pengawasan terhadap organisasi penyelenggaraan Layang-Layang Aerospace dari 1 hingga 4 September iaitu beberapa hari sebelum nahas berlaku.

Iklan

Beliau berkata, audit tahunan itu merekodkan tiga penemuan ketidakpatuhan dan tiga pemerhatian melibatkan aspek perancangan tenaga kerja, rekod pelaksanaan tugas penyelenggaraan serta dokumentasi prosedur kesinambungan operasi selepas kecemasan.

Beliau berkata, semua penemuan audit telah ditutup kecuali satu berkaitan kaedah pengiraan dan perancangan tenaga kerja yang masih menunggu pengesahan akhir CAAM ketika nahas berlaku.

Bagaimanapun, Anthony menegaskan penemuan itu bersifat pentadbiran dan organisasi serta tidak mempunyai kaitan langsung dengan keadaan teknikal atau sistem helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut.

"Untuk punca kemalangan, sama ada ia mempunyai hubung kait atau tidak, sudah tentu memerlukan siasatan terperinci mengenai apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu. Ia memerlukan laporan teknikal sebelum satu keputusan atau hasil penemuan muktamad diberikan," katanya.

Anthony berkata, CAAM turut menjalankan pemeriksaan pengesahan terhadap helikopter BO105 lain dari 9 hingga 10 September serta pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce RR250 dari 10 hingga 12 September.

Pesawat tersebut dibenarkan kembali beroperasi selepas semua pemeriksaan dan tindakan pembetulan yang diperlukan dilaksanakan serta tahap kelayakan terbang masing-masing disahkan.

Mengenai cadangan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung penyediaan lebih banyak kawasan pendaratan helikopter di pedalaman bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan, Anthony berkata, kemudahan itu yang diluluskan atau dikenal pasti CAAM mengambil kira aspek keselamatan penerbangan.

Beliau berkata, nahas di Long Lellang berlaku di kawasan padang terbang yang mempunyai landasan untuk pesawat ringan.

"Bagi cadangan mewujudkan gagasan penerbangan helikopter kebangsaan yang menggabungkan operasi agensi kerajaan dan syarikat swasta, saya rasa agak sukar untuk dilaksanakan ketika ini. Namun begitu, apa yang dicadangkan itu akan kita pertimbangkan," katanya. - Bernama