SINGAPURA - Singapura tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan susulan kemerosotan kualiti udara sehingga mencapai tahap sangat tidak sihat.
Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu berkata, kerajaan sedang mengumpulkan data berkaitan pencemaran itu sebelum mempertimbangkan tindakan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014.
"Kami sedang mengumpulkan data dan akan menelitinya dengan teliti.
"Kami tidak menolak sebarang pilihan dan akan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap data yang dikumpulkan," katanya seperti dilaporkan Bloomberg pada Khamis.
Di bawah akta berkenaan, syarikat yang didapati menyebabkan atau membiarkan kebakaran sehingga mengakibatkan pencemaran jerebu di Singapura boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Jika disabitkan kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda sehingga S$100,000 (RM318,000) sehari, dengan jumlah keseluruhan tidak melebihi S$2 juta.
Menurut laporan itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di Singapura berada antara 125 hingga 206 setakat jam 6 pagi Khamis, dengan kawasan barat mencatatkan paras tertinggi.
Bacaan PSI antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala paras melebihi 300 dianggap berbahaya.
Keadaan jerebu yang semakin buruk turut menyebabkan beberapa kemudahan sukan di kawasan barat ditutup, selain beberapa wakil rakyat membatalkan lawatan ke kawasan masing-masing.
Kerajaan Singapura turut mengagihkan pelitup muka N95 kepada penduduk yang layak dan menyediakan pusat perlindungan jerebu di beberapa kemudahan komuniti.
Sementara itu, Grace Fu berkata, Singapura masih bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca pencemaran jerebu di rantau ini.
Bagaimanapun, republik itu masih belum menerima perkembangan lanjut daripada Indonesia berhubung tawaran bantuan tersebut.
Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia sejak beberapa minggu lalu menyebabkan pencemaran jerebu melanda beberapa negara Asia Tenggara.
Operasi pemadaman turut berdepan cabaran berikutan jarak penglihatan yang terhad akibat asap tebal.
Indonesia dilaporkan merancang menggunakan kaedah pengubahsuaian cuaca dengan menyebarkan pelet ais kering dari pesawat di ruang udara Sumatera Selatan bagi membantu mengurangkan masalah tersebut. - Agensi