Tukar laluan selamatkan pendaki Malaysia daripada banjir maut Nepal

Iklan
Rumah-rumah ditenggelami lumpur susulan banjir kilat di Trishuli Bazar, daerah Nuwakot, Nepal pada 26 Ogos lalu. Foto: AFP

SHAH ALAM - Selepas berdiam diri sejak selamat kembali ke tanah air pada 2 Oktober lalu, seorang pendaki veteran Malaysia akhirnya berkongsi detik cemas apabila keputusan menukar laluan pengembaraan menyelamatkan nyawanya daripada tragedi banjir maut di Nepal.

Low Hock Meng, 71, merupakan salah seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Memetik laporan The Star, individu itu memulakan pengembaraan secara solo bagi meneroka laluan Tamang, Lembah Langtang dan Gosaikunda sebelum menuju ke Thuman ketika dalam perjalanan ke Lingling.

Bagaimanapun, dia menyedari sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat kesan banjir besar di pekan Syapru Besi, selain jambatan musnah dan bekalan elektrik terputus.

Iklan

“Jambatan sepanjang laluan ke Lingling dihanyutkan air, bekalan elektrik terputus dan saya tidak dapat menghubungi sesiapa melalui telefon.

Menurut Hock Meng, keputusan mengubah laluan sebelum itu menyebabkan dia tidak menyedari bencana besar yang melanda kawasan berkenaan.

Iklan

“Jika tidak menukar laluan, saya pasti berada tepat di kawasan yang dilanda banjir itu,” katanya.

Ketika tiba di Thuman, dia melihat helikopter berlegar di udara, jambatan musnah dan air banjir deras merentasi kawasan perkampungan.

Tanpa mengetahui arah untuk dituju, Hock Meng meminta bantuan seorang kanak-kanak lelaki sebelum keluarganya menawarkan tempat perlindungan.

“Pada sebelah petang, orang ramai mula datang sambil menangis. Keadaan itu benar-benar mengejutkan,” ujarnya.

Keluarga tersebut kemudian mengajaknya berjalan kaki selama lima jam ke kampung mereka sebelum Low bertemu seorang lelaki Nepal yang pernah bekerja di Malaysia.

Lelaki itu memaklumkan mengenai laluan alternatif merentasi pergunungan untuk mendapatkan pengangkutan ke Kathmandu atau Pokhara.

Hock Meng meneruskan perjalanan sehingga tiba di Tipling pada 3 September dan akhirnya berjaya menghubungi keluarga di Malaysia bagi memaklumkan selamat.

Dia hanya tiba di Kathmandu pada 11 September, namun memilih untuk tidak segera pulang selepas menyaksikan kemusnahan bencana dan mengenangkan bantuan penduduk tempatan.

“Saya tahu saya tidak boleh terus meninggalkan mereka ketika penduduk di sini sangat memerlukan sokongan,” katanya.

Hock Meng kemudian meneruskan pengembaraan melalui laluan alternatif menuju ke Lembah Langtang, namun sekali lagi berdepan pengalaman mencemaskan apabila terperangkap dalam ribut salji di Gosaikunda selama tiga hari.

Beliau turut berdepan kawasan tanah runtuh dan terpaksa mengikuti kesan tapak kaki penduduk tempatan apabila laluan asal musnah.

Kekurangan bekalan makanan pula menyebabkan dia bergantung kepada hidangan nasi, sayur-sayuran dan jeruk dikenali sebagai dal bhat serta telur.

Menurut Hock Meng, hampir setiap kampung yang disinggahi mempunyai penduduk yang kehilangan ahli keluarga atau masih menunggu khabar insan tersayang.

“Mereka bersedih apabila bersendirian, tetapi apabila menyambut kedatangan kita, mereka tetap memberikan layanan terbaik,” katanya.

Hock Meng akhirnya melaporkan diri di Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum pulang ke tanah air dan bertemu semula keluarganya.