[DIKEMAS KINI] SELANGOR berjaya menarik potensi pelaburan melebihi RM3 bilion daripada empat pelabur asing menerusi Surat Niat (LOI) yang difasilitasi oleh UOB Malaysia kepada Invest Selangor, mencerminkan minat kukuh pelabur terbabit untuk meneroka peluang perniagaan dan pertumbuhan di negeri itu.
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 pada Rabu menyaksikan penyerahan beberapa LOI daripada pelabur asing iaitu Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, Galaxy Data Centre, XTC New Energy dan Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co. Ltd.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam ucapannya, Amirudin berkata, Selangor bukan destinasi bagi pelabur yang mencari tanah atau tenaga kerja murah, sebaliknya menawarkan nilai menerusi kerjasama jangka panjang serta tenaga kerja berkemahiran tinggi terbaik negara.
“Jika anda mencari tanah murah atau tenaga kerja murah, Selangor bukan tempatnya.
“Namun, jika anda mahu membina kerjasama jangka panjang dan mendapatkan khidmat tenaga kerja terbaik Malaysia sebagai pasukan pembangunan serta operasi anda, saya menggesa anda untuk mempertimbangkan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, daya tahan ekonomi tidak boleh dibina secara bersendirian kerana kemakmuran sebenar bergantung kepada kerjasama serantau dan bukannya persaingan yang bersifat menang-kalah.
“Asia Tenggara kini berada pada titik perubahan bersejarah. Dengan populasi muda dan dinamik melebihi 680 juta penduduk, ASEAN sedang muncul dengan pantas sebagai pusat pertumbuhan ekonomi global.
“Dunia melihat rantau ini bukan sekadar sebagai sumber bekalan, tetapi juga rakan strategik dan pasaran penting. Bersama Afrika, ASEAN merupakan antara rantau yang mencatatkan pertumbuhan terpantas di dunia,” katanya.
Tambah Amirudin, Malaysia sekian lama menjadi pemain utama dalam aktiviti pembungkusan dan pengujian semikonduktor, namun Selangor sedang merintis laluan baharu ke segmen bernilai tinggi dalam rantaian nilai industri itu, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC) peringkat hadapan, automasi reka bentuk elektronik (EDA) dan pembangunan harta intelek.
“Inisiatif seperti Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Puchong membuktikan komitmen kami secara nyata.
“Kami tidak menunggu pemindahan teknologi berlaku secara semula jadi. Sebaliknya, kami membangunkan inkubator, menyediakan infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi dan meningkatkan kemahiran jurutera tempatan untuk mereka bentuk cip bertaraf dunia di Selangor.
“Kami mahu generasi baharu semikonduktor yang memacu kecerdasan buatan global dirancang, dibangunkan dan direalisasikan di negeri ini,” ujarnya.
SIBS 2026 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berlangsung sehingga 17 Oktober 2026, menghimpunkan pelabur, pemimpin industri, wakil kerajaan serta komuniti perniagaan dari Malaysia, ASEAN dan seluruh dunia.
Dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor, SIBS 2026 membawa tema “Selangor, Gerbang ke ASEAN” dan menampilkan 526 ruang pameran dengan penyertaan antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Jepun, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Bangladesh, Kenya, Sri Lanka, Brazil dan Vietnam.
Acara selama empat hari itu menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung serta nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion. Program itu turut disokong oleh Program Delegasi Jemputan yang melibatkan 110 delegasi, manakala 188 penceramah akan berkongsi pandangan dalam sembilan program persidangan khusus.
STS 2026 persiap bakat teknologi masa depan
Selangor Techsphere Summit 2026 (STS 2026) menjadi sebahagian daripada usaha Selangor dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri teknologi bernilai tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Dr Harizal Hamid berkata, penganjuran program itu bukan sahaja mengetengahkan perkembangan teknologi terkini, malah menghubungkan pemain industri dengan ekosistem pendidikan serta pembangunan bakat tempatan.
Menurut beliau, persediaan tersebut penting bagi memastikan pelajar mempunyai laluan untuk memperoleh pengiktirafan industri, selain membina rangkaian profesional yang dapat membantu mereka menembusi pasaran pekerjaan.
“Sejak 2021, iaitu ketika segmen pendidikan industri diwujudkan buat pertama kali, kami telah melatih seramai 2,500 pelatih dalam kalangan anak Selangor menerusi tajaan kerajaan negeri.
“Daripada jumlah itu, kadar kebolehpasaran graduan bagi bidang berkaitan melebihi 80 peratus,” katanya.
Harizal berkata, STDC berperanan mewujudkan ekosistem yang kukuh dengan menghimpunkan pengeluar teknologi, kerajaan negeri, industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta institusi pembangunan modal insan, khususnya dalam sektor berpertumbuhan dan bernilai tinggi.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Google dan BMW membolehkan STDC membangunkan modul pendidikan profesional serta pensijilan industri bagi membantu pelajar memperoleh pengiktirafan dalam bidang masing-masing.
“Kami menyediakan laluan kepada pelajar untuk memperoleh pengiktirafan industri sebelum diperkenalkan kepada rangkaian industri mengikut subsektor masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, STS 2026 memberi tumpuan kepada sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi menerusi segmen seperti AI, mikropengawal, semikonduktor dan ekonomi hijau.
“Melalui STS tahun ini, setiap segmen disusun mengikut industri yang mempunyai rantaian nilai komersial tinggi dalam kategori industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi (high-growth, high-value industries),” katanya.
Bagi memperluas penyertaan industri, sebanyak 30 syarikat dan organisasi mengambil bahagian dalam ruang pameran sepanjang penganjuran program tersebut. Pada masa sama, setiap segmen utama menyediakan kapasiti penyertaan sehingga 500 peserta bagi setiap sesi setiap hari.
Dalam perkembangan sama, STS 2026 turut menyasarkan peningkatan pelaburan sebanyak 30 peratus berbanding sasaran tahun lalu, selaras dengan matlamat SIBS 2026.
STS 2026 merupakan sebahagian daripada SIBS 2026 yang menggabungkan persidangan teknologi, pameran industri dan peluang jaringan perniagaan antarabangsa dalam satu platform.
Bertemakan “Where Industry, Technology and Government Connect”, STS 2026 menyediakan platform yang menghubungkan pemain industri, penyedia teknologi, jurutera, pelabur, pemimpin perniagaan dan agensi kerajaan untuk meneroka penyelesaian teknologi yang bakal membentuk masa depan industri serta sektor pembuatan termaju.