KUALA KANGSAR - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menunggu pekeliling rasmi berhubung pelaksanaan gaji permulaan minimum RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan itu yang dilihat sebagai satu penambahbaikan dalam kerangka pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, beliau berkata, kaedah pelaksanaan termasuk tatacara pembayaran dan tempoh pelaksanaannya perlu diperincikan bagi memastikan langkah berkenaan dapat dilaksanakan secara teratur.
"Bagaimana ia hendak dilaksanakan perlu menunggu pekeliling rasmi kerana pelaksanaan dalam tadbir urus memerlukan tatacara yang jelas dan terperinci.
"Saya yakin, pihak yang berkewajipan telah pun melaksanakan persediaan sewajarnya bagi memastikan mekanisme pelaksanaan ini dapat dimuktamadkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani SPA kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini, Rabu.
Mengenai sama ada kadar RM2,500 itu merangkumi elaun lain, Ahmad Jailani berkata, perkara berkenaan juga perlu diperjelaskan menerusi pekeliling rasmi tersebut.
Katanya, penelitian terperinci diperlukan kerana pelaksanaan dasar itu membabitkan implikasi kewangan, peruntukan yang besar dan jumlah penerima manfaat yang ramai.
"Kebiasaannya pengumuman belanjawan dibuat pada tahun semasa bagi pelaksanaan pada tahun berikutnya dengan gerak kerja berkaitan dimulakan seiring pembentangan.
"Kita harap perkara ini dapat dilaksanakan pada awal tahun depan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Jailani meminta semua pihak merujuk kenyataan rasmi pihak berkuasa berkaitan berhubung krisis pentadbiran di Negeri Sembilan, khususnya kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Beliau berkata, perkara itu wajar dirujuk kepada Peguam Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mempunyai bidang kuasa serta kepakaran dalam meneliti aspek tadbir urus dan perundangan berkaitan.
Menurutnya, orang ramai juga perlu mengelakkan spekulasi atau membuat tafsiran sendiri tanpa mengetahui fakta sebenar berhubung isu berkenaan.
"SPA menyerahkan perkara itu kepada Peguam Negara untuk penelitian dari sudut perundangan.
"Lebih baik kita berlandaskan undang-undang yang ada di negara ini dan menyerahkan perkara ini kepada pihak yang benar-benar arif mengenainya," katanya.
Sementara itu, inisiatif Sekolah Angkat Madani SPA di SMK Simpang Beluru melibatkan peruntukan RM100,000 membabitkan penyelenggaraan fizikal, perolehan perabot, peralatan ICT, Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, dan lawatan penanda aras.
Antara kemudahan yang dinaik taraf termasuklah Bilik Alat Pandang Dengar (APD), pusat sumber sekolah, pejabat pentadbiran, penyediaan perabot ergonomik, serta kemudahan digital seperti papan pintar interaktif, komputer meja dan mesin pencetak.