MELANCONG merupakan antara aktiviti yang menjadi pilihan masyarakat untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan meneroka pengalaman baharu.
Namun, dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menjadi perhatian, cara masyarakat merancang dan menguruskan percutian turut mengalami perubahan.
Jika dahulu ramai yang bergantung kepada agensi pelancongan untuk mendapatkan pakej lengkap, kini semakin ramai pengguna mula mempertimbangkan pendekatan Do-It-Yourself (DIY) bagi menguruskan perjalanan mereka sendiri.
Perubahan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Apabila perbelanjaan harian seperti makanan, pengangkutan dan penginapan memerlukan peruntukan yang lebih besar, pengguna menjadi lebih berhati-hati dalam merancang percutian.
Mereka bukan lagi sekadar mencari destinasi menarik, tetapi turut memikirkan bagaimana untuk mendapatkan pengalaman terbaik dengan kos yang berpatutan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi Malaysia pada tahun 2025 ialah 1.4 peratus. Walaupun kadar inflasi tersebut menunjukkan peningkatan harga yang lebih terkawal, ia tidak bermaksud harga barangan dan perkhidmatan kembali kepada paras sebelumnya.
Keadaan ini menyebabkan pengguna perlu membuat pertimbangan yang lebih teliti sebelum memperuntukkan wang untuk aktiviti pelancongan.
Dalam konteks ini, pelancongan DIY menjadi semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Melalui pendekatan ini, pelancong menguruskan sendiri urusan perjalanan, termasuk pembelian tiket penerbangan, tempahan hotel, pengangkutan, penyediaan itinerari dan pemilihan aktiviti pelancongan.
Penggunaan platform digital seperti aplikasi tempahan hotel, laman perbandingan harga dan media sosial membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada agensi pelancongan.
Lebih menarik, perkembangan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) turut mempercepatkan perubahan tersebut. Aplikasi seperti ChatGPT membolehkan pengguna memperoleh cadangan destinasi, menyediakan itinerari, menganggarkan bajet dan mengenal pasti aktiviti yang sesuai mengikut kemampuan kewangan.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai bajet RM3,000 boleh meminta bantuan AI untuk menyediakan perancangan percutian selama lima hari, termasuk cadangan penginapan, pengangkutan dan tempat menarik.
Data Tourism Malaysia melalui kajian Malaysian Domestic & Outbound Travel Behavior 2025 menunjukkan bahawa 57.4 peratus responden membuat keputusan perjalanan domestik sendiri, manakala hanya 1.3 peratus melaporkan ejen pelancongan sebagai pihak yang membuat keputusan perjalanan.
Dapatan ini menggambarkan bahawa pengguna semakin memainkan peranan aktif dalam menentukan percutian mereka.
Selain itu, kajian Agoda pada tahun 2026 mendapati bahawa 63 peratus pelancong Malaysia sanggup mempertimbangkan destinasi yang kurang popular sekiranya kosnya lebih rendah. Data ini juga boleh menjadi indikator bahawa pertimbangan kewangan semakin mempengaruhi pemilihan destinasi dan pengalaman pelancongan.
Namun begitu, memilih pelancongan DIY ini bukanlah bermaksud agensi pelancongan tidak lagi popular. Agensi masih mempunyai kelebihan dari segi kepakaran, kemudahan pengurusan perjalanan, penyelarasan pengangkutan dan penginapan serta bantuan apabila berlaku masalah sepanjang perjalanan.
Bagi perjalanan berkumpulan, pakej umrah, pelancongan keluarga atau destinasi yang memerlukan pengurusan lebih kompleks, perkhidmatan agensi mungkin lebih praktikal dan meyakinkan.
Apabila ramai yang memilih untuk melancong secara DIY, persoalan yang timbul ialah adakah DIY benar-benar lebih murah?
Jawapannya bergantung kepada destinasi, bilangan pelancong, musim perjalanan dan kebolehan pengguna membuat perbandingan harga.
Kadangkala pakej agensi menawarkan harga yang lebih kompetitif kerana mempunyai kerjasama dengan hotel, syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan.
Oleh itu, pengguna perlu membandingkan keseluruhan kos, bukan hanya harga tiket dan penginapan. Hakikatnya, trend perubahan ini menunjukkan bahawa industri pelancongan sedang berhadapan dengan pengguna yang lebih bijak, berdikari dan peka terhadap nilai wang.
Agensi pelancongan perlu menyesuaikan strategi perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih fleksibel, pakej khusus dan pengalaman yang sukar diperoleh melalui perancangan DIY semata-mata.
Akhirnya, melancong bukan lagi sekadar persoalan ke mana hendak pergi, tetapi bagaimana untuk pergi dengan bijak mengikut kemampuan kewangan. Sama ada memilih DIY atau menggunakan agensi pelancongan, perkara paling penting ialah mendapatkan pengalaman perjalanan yang berkualiti tanpa membebankan kewangan.
Dalam era digital dan kos sara hidup yang mencabar, perancangan yang bijak mungkin menjadi kunci kepada percutian yang lebih bermakna.
* Dr Farah Laili Muda @ Ismail ialah Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM