‘Saya hanya mahukan susu untuk ibu'

Iklan
Nik Aliza sanggup berhenti kerja demi menjaga ibunya yang terlantar akibat demensia di Kampung Kubang Badak, Bachok.

BACHOK –"Saya hanya mahukan susu untuk ibu. Itu sahaja yang saya fikirkan setiap hari."

Begitulah luahan Nik Aliza Nik Soh, 53, yang sudah tiga tahun mengetepikan pekerjaan demi menjaga ibunya, Hasnah Ismail, 76, yang terlantar sakit akibat demensia tahap tujuh.

Iklan
Iklan

Bekas juruwang di sebuah stesen minyak itu kini berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan harian ibunya, terutama susu khas yang menjadi antara keperluan utama wanita warga emas berkenaan.

Nik Aliza berkata, dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 serta sumbangan adik-beradik, dia perlu mencari jalan untuk menampung perbelanjaan penjagaan ibunya yang jauh melebihi kemampuan kewangannya.

Iklan

Menurutnya, satu tin susu berjenama Apeton berharga kira-kira RM130 hanya mampu bertahan selama tiga hari.

Ini bermakna, dia memerlukan kira-kira 10 tin susu sebulan dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM1,300, belum termasuk lampin pakai buang, tisu basah, pelapik tilam dan ubat-ubatan.

Iklan

"Duit bantuan JKM memang tidak cukup untuk menampung semua keperluan ibu. Susu sahaja sudah menelan belanja yang besar, belum lagi barang-barang lain yang diperlukan setiap hari.

"Saya bukan tidak mahu bekerja, tetapi siapa yang hendak menjaga ibu kalau saya keluar bekerja? Ibu memerlukan perhatian dan penjagaan sepanjang masa," katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Badak di sini.

Nik Aliza berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan harian ibunya terutama susu khas berikutan kekangan kewangan.

Nik Aliza, anak keempat daripada 13 beradik berkata, adik-beradiknya yang terdiri daripada lima perempuan dan lapan lelaki turut mempunyai tanggungan keluarga masing-masing serta bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Katanya, sumbangan adik-beradik yang diterima setakat ini hanya mampu membantu meringankan sebahagian beban, sedangkan keperluan ibunya perlu dipenuhi secara berterusan.

Ujarnya, dia kini menunggu kelulusan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan sokongan bagi menampung keperluan ibunya.

Selain keperluan harian, ibunya juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Psikiatri di Berek 12, Kota Bharu, yang memerlukan mereka berulang-alik setiap dua bulan.

Bagi Nik Aliza, tanggungjawab menjaga ibu bukan sesuatu yang mahu dilepaskan, biarpun terpaksa mengorbankan sumber pendapatan sendiri demi memastikan wanita yang melahirkannya itu terus mendapat penjagaan sewajarnya.

Namun, di sebalik kesungguhannya menjaga ibu yang semakin uzur, dia sentiasa memikirkan bagaimana mahu memastikan bekalan susu dan keperluan asas wanita itu tidak terputus.

Dia tidak mengharapkan kemewahan, sebaliknya hanya berharap ada jalan untuk memastikan keperluan ibunya terus tersedia setiap hari.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban Nik Aliza boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB Bank bernombor 7630289449.