PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan kematian anak perempuannya itu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ong Chee Kwan dan K Muniandy.
Hakim Muniandy ketika membacakan keputusan itu berkata, panel berkenaan mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025, termasuk semua perintah ganti rugi, faedah dan perintah mandatori.
Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dan memerintahkan kesemua defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk, RM300,000 sebagai ganti rugi teladan serta RM100,000 sebagai kos.
Mahkamah Tinggi turut mengarahkan Ketua Polis Negara (IGP) untuk menyingkirkan ASP Faizal Abdullah daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan terhadap kematian Ivana Smit, seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 2019, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Ivana Smit beri notis 48 jam tuntut kerajaan bayar ganti rugi RM1.1 juta
Kerajaan diarah bayar RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit
PDRM juga diarah memberikan taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan mengenai kemajuan siasatan. AGC pula diarahkan untuk menilai sama ada bukti yang mencukupi telah dikemukakan dan menentukan sebarang tindakan susulan yang perlu diambil.
Verstappen memfailkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat Dang Wangi, Asisten Superintenden Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran kewajipan statutori dalam siasatan kematian anak perempuannya.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman secara umum, Muniandy berkata mahkamah mendapati hakim perbicaraan terkhilaf dalam menilai bukti apabila menganggap dapatan dan nota keterangan daripada prosiding inkues serta semakan jenayah terdahulu sebagai bukti substantif yang konklusif dalam perbicaraan sivil secara de novo.
Beliau berkata, inkues di bawah Bab 32 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) merupakan proses inkuisitorial bagi menentukan identiti si mati dan punca kematian.
"Perintah Mahkamah Tinggi Jenayah tahun 2019 yang menggantikan dapatan asal kepada 'kematian akibat perbuatan individu atau individu-individu yang tidak dikenali' merupakan satu penentuan penting dari segi perundangan yang menghendaki kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ia bukanlah satu penghakiman antara pihak yang menetapkan wujudnya kesalahan tort yang boleh diambil tindakan undang-undang atau liabiliti sivil terhadap pegawai penyiasat," katanya.
Muniandy berkata, hakim perbicaraan telah secara tidak wajar mengutamakan dan menerima pakai dapatan dokumentari pakar patologi asing, Dr Frank van der Goot, tanpa memanggilnya untuk memberikan keterangan dan disoal balas semasa perbicaraan sivil, sedangkan pada masa sama menolak keterangan semasa daripada pakar patologi kerajaan tempatan.
"Ini telah menafikan hak prosedur asas perayu untuk menguji dakwaan saintifik berhubung mekanisme jatuh, toksikologi dan waktu kematian," katanya.
Beliau berkata, hakim perbicaraan telah melakukan kesilapan undang-undang asas dengan mewujudkan kewajipan berjaga-jaga di bawah common law yang perlu dipenuhi pegawai polis terhadap pengadu individu atau waris terdekat berhubung cara sesuatu siasatan jenayah dikendalikan.
Hakim berkata, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mempunyai kewajipan awam secara umum terhadap masyarakat keseluruhannya untuk memelihara keamanan dan menyiasat jenayah, namun tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga di bawah undang-undang persendirian yang boleh membawa kepada pembayaran ganti rugi kepada mangsa individu atau saudara-mara mereka berhubung kecuaian, kelewatan atau kegagalan yang dianggap berlaku dalam siasatan.
"Rasional dasar awam adalah jelas. Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh tertakluk kepada ancaman litigasi sivil persendirian oleh pihak yang tidak berpuas hati kerana ia akan menjejaskan kebebasan dalam pengagihan sumber dan melumpuhkan siasatan jenayah.
"Kebergantungan hakim perbicaraan kepada kes Kent v Griffiths adalah sama sekali tidak wajar kerana kes itu membabitkan kecuaian operasi oleh perkhidmatan ambulans kecemasan dan tidak terpakai terhadap pelaksanaan budi bicara pegawai penyiasat dalam siasatan jenayah," katanya.
Muniandy berkata, hakim perbicaraan turut terkhilaf apabila memutuskan bahawa Seksyen 20 Akta Polis 1967 serta Seksyen 107A dan 112 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) memberikan hak persendirian untuk mengambil tindakan bagi menuntut ganti rugi.
"Seksyen 20 Akta Polis menggariskan tugas umum pasukan polis untuk memelihara ketenteraman awam, manakala Seksyen 107A KTJ menyediakan mekanisme pentadbiran dalaman bagi melaporkan status sesuatu siasatan.
"Kedua-dua peruntukan itu tidak dimaksudkan oleh Parlimen untuk mewujudkan kausa tindakan persendirian bagi menuntut ganti rugi. Selain itu, perayu kedua bukan pegawai yang menjaga balai polis (OCS) di bawah Seksyen 107A," katanya.
Hakim turut mendapati Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan undang-undang yang jelas apabila menganggap malfeasance (perbuatan salah) dan non-feasance (kegagalan bertindak) sebagai kausa tindakan berasingan yang berdiri sendiri dalam undang-undang tort.
"Di bawah perundangan tort Malaysia, kedua-duanya merupakan kategori deskriptif bagi sesuatu perlakuan dan bukannya tort khusus yang boleh dikenakan tindakan. Saman itu tidak memenuhi ambang pembuktian yang tinggi bagi unsur niat jahat untuk tort salah laku dalam jawatan awam," katanya.
AKAN MENYUSUL