SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun bagi menjalankan siasatan berhubung penahanan lima rakyat Malaysia selepas disyaki cuba menyeludup kokain melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini bagi mendapatkan maklumat berhubung penahanan berkenaan termasuk rangkaian sindiket dadah Malaysia dan antarabangsa.
Menurutnya, JSJN telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun berkaitan penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia itu.
"Pihak Berkuasa Kastam Jepun telah menjumpai dadah jenis kokain seberat lima kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam pelapik kasut yang dipakai oleh kesemua suspek.
"Hasil semakan JSJN terhadap rekod perjalanan mendapati seramai enam warga Malaysia telah berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Lapangan Terbang Haneda pada 9 Oktober 2026 bagi tujuan melancong.
"Pada 10 Oktober 2026, lima daripada mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa Jepun manakala seorang lagi tidak ditahan dan telah pulang ke Malaysia," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, JSJN juga telah mengenal pasti kesemua suspek yang ditahan termasuk individu yang telah pulang ke Malaysia berumur lingkungan 19 tahun hingga 26 tahun.
Jelasnya, lima daripada mereka berasal dari Sarawak.
"Semakan rekod kesemuanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau," ujarnya.
Tambahnya, pihak berkuasa Jepun sedang menjalankan siasatan berhubung punca bekalan dadah diperoleh termasuk ahli sindiket yang terlibat serta sindiket rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pelawaan untuk bercuti, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik orang lain ke luar negara.
"Jangan menerima atau membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya. Elakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah," ujarnya.
Katanya lagi, JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara.
"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui HOTLINE JSJN di 012-2087222," ujarnya.
Terdahulu, menurut laporan NHK World Japan, empat daripada lima suspek mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala seorang lagi menafikannya.
Polis pada Isnin memaklumkan, kesemua individu terbabit ditahan selepas dipercayai cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta).