PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berdepan tekanan hebat dan desakan baharu agar melepaskan jawatannya susulan pendedahan penerimaan 'gaji kedua' yang tidak diisytiharkan bernilai £1.3 juta (RM7.04 juta).
Pendedahan terbaharu itu mencetuskan gelombang kritikan terhadap kepimpinan badan induk bola sepak dunia berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai tahap ketelusan kewangan peribadi Infantino yang sebelum ini turut dikritik berhubung cadangan menswastakan pegangan kejohanan.
Walaupun FIFA sejak 2016 secara terbuka komited terhadap dasar ketelusan pendapatan kepimpinannya, bayaran bagi tahun 2024 itu didapati tidak dimasukkan ke dalam laporan tahunan rasmi organisasi tersebut, yang sekadar mencatatkan gaji tahunannya berjumlah £3.88 juta (RM21 juta).
Bagaimanapun, pemfailan cukai di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kewujudan transaksi tambahan £1.3 juta yang disalurkan melalui FWC2026 iaitu sebuah anak syarikat yang ditubuhkan khas bagi menguruskan kejohanan Piala Dunia 2026.
Penemuan itu mengundang dakwaan bahawa FIFA telah melanggar peraturannya sendiri, khususnya Perkara 43 Perenggan 13 Statut FIFA yang menetapkan pampasan individu bagi Presiden FIFA, ahli majlis dan Setiausaha Agung FIFA hendaklah didedahkan kepada umum.
Susulan dakwaan tersebut, FIFA tampil mempertahankan kedudukan mereka dengan menegaskan bahawa bayaran berkenaan mematuhi prosedur dalaman yang ditetapkan.
"Pampasan tahunan Presiden FIFA dan manfaat kontrak lain diputuskan oleh sub-jawatankuasa pampasan FIFA," kata badan itu seperti yang dilaporkan Sky Sports.
"FIFA mencarum untuk caj sosial, dana pencen dan faedah kontrak pekerja lain untuk presiden seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan FIFA. Manfaat ini dilaporkan kepada pihak berkuasa AS selaras dengan keperluan pelaporan," kata FIFA.
Isu tersebut turut mencetuskan tanda tanya mengapa hanya Infantino seorang pegawai tertinggi yang menerima bayaran daripada entiti FWC2026.
Rekod rasmi menunjukkan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom tidak menerima sebarang dana tambahan daripada subsidiari berkenaan.
Malah, Presiden CONCACAF, Victor Montagliani yang bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah FWC2026 turut tidak menerima pampasan tambahan biarpun memikul tanggungjawab besar dalam penganjuran kejohanan itu.
Perkembangan terkini itu dilaporkan merenggangkan lagi hubungan Infantino dengan beberapa pihak berpengaruh dalam arena bola sepak antarabangsa.
Beliau dilaporkan kehilangan sokongan daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan sebilangan persekutuan di Amerika Utara serta Asia.
Bagaimanapun, Infantino dilaporkan enggan berundur daripada jawatannya dan kekal yakin masih memiliki sokongan kukuh daripada persekutuan di Afrika serta Amerika Selatan bagi memastikan pemilihannya semula pada Mac tahun hadapan.
Setakat ini, belum ada pencabar utama yang mampu menggugat kedudukannya menjelang pemilihan itu.