KENAIKAN gaji minimum dan penetapan gaji yang lebih tinggi bagi graduan perlu disokong oleh peningkatan produktiviti pekerja bagi mengelakkan langkah itu menambah tekanan kos kepada majikan serta mengehadkan peluang pekerjaan, khususnya dalam kalangan pekerja muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr Carmelo Ferlito berkata, kenaikan gaji melalui penetapan kadar minimum tidak secara automatik meningkatkan nilai yang dihasilkan oleh pekerja.
Sebaliknya, pertumbuhan gaji yang mampan perlu didorong oleh peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi serta akses kepada peralatan dan modal yang lebih baik.
Menurutnya, sekiranya kadar gaji ditetapkan melebihi nilai yang mampu dijana oleh pekerja, majikan mungkin mengambil langkah mengurangkan waktu bekerja, mengehadkan pengambilan pekerja baharu atau beralih kepada sektor pekerjaan tidak formal bagi mengawal kos operasi.
“Gaji ialah satu bentuk harga yang secara mampan mencerminkan nilai yang dihasilkan oleh seseorang pekerja.
“Nilai itu hanya akan meningkat apabila pekerja mempunyai lebih banyak modal, peralatan yang lebih baik dan kemahiran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah dalam Belanjawan 2027 untuk menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, selain menetapkan kadar minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan seperti yang diumumkan dalam belanjawan berkenaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatat jualan tahunan di bawah RM50 juta.
Carmelo berkata, penetapan gaji minimum RM2,500 bagi graduan juga berisiko mengehadkan peluang pekerjaan sekiranya majikan tidak melihat produktiviti graduan baharu sebagai setimpal dengan kos penggajian yang perlu ditanggung.
Dalam keadaan tersebut, majikan mungkin memilih untuk mengambil pekerja yang lebih berpengalaman atau mengurangkan pengambilan graduan baharu, sekali gus menyukarkan golongan itu memasuki pasaran pekerjaan.
Beliau berkata, pertumbuhan gaji juga perlu dilihat dalam konteks prestasi ekonomi negara.
Gaji median di Malaysia meningkat kira-kira 43 peratus antara 2010 hingga 2024, manakala keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sekitar 82 peratus dalam tempoh yang sama.
Ujarnya, perbezaan kadar pertumbuhan tersebut menunjukkan kepentingan memperkukuh produktiviti agar peningkatan gaji dapat disokong oleh keupayaan ekonomi menghasilkan nilai yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, pengecualian kepada PMKS boleh mewujudkan perbezaan kos penggajian antara firma dan berpotensi mempengaruhi keputusan perniagaan apabila syarikat menghampiri ambang jualan yang ditetapkan.
Firma yang melepasi ambang berkenaan bukan sahaja perlu menanggung kos gaji yang lebih tinggi, malah mungkin kehilangan kelayakan untuk menikmati kadar cukai istimewa PKS, sekali gus menambah pertimbangan kos ketika merancang pengembangan perniagaan.
Dalam usaha membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup, Carmelo turut menyentuh peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ujarnya, bantuan tunai merupakan pendekatan yang lebih baik berbanding kawalan harga kerana ia tidak mengganggu mekanisme pembentukan harga pasaran. Namun, langkah itu hanya menangani kesan tekanan kos sara hidup dan bukannya punca asas masalah tersebut.
“Sehubungan itu, pengurangan cukai yang membolehkan rakyat mengekalkan lebih banyak pendapatan boleh guna perlu diberi perhatian sebagai antara pendekatan untuk meningkatkan kemampuan kewangan isi rumah,” katanya.