Rotan, disiplin dan dilema ibu bapa

Iklan
Rotan perlu bertujuan mendidik dan membentuk peribadi baik, bukannya melepaskan kemarahan atau mencederakan anak.

BAGI generasi Baby Boomer, Gen X dan milenial, hukuman rotan di sekolah bukanlah sesuatu yang asing. Kaedah disiplin itu pernah menjadi sebahagian daripada pengalaman persekolahan ramai murid ketika ketegasan guru dianggap penting dalam membentuk sahsiah dan adab.

Namun, seiring peredaran masa, pelaksanaan hukuman rotan semakin tertakluk pada peraturan dan prosedur khusus, termasuk kuasa yang diberikan kepada pengetua atau guru besar serta guru yang diberi kuasa.

Iklan
Iklan

Dalam landskap keibubapaan hari ini yang semakin menitikberatkan kesejahteraan emosi anak, timbul persoalan sama ada ketegasan dalam mendidik turut semakin sukar dilaksanakan.

Kesedaran terhadap kesihatan mental menyebabkan sebahagian ibu bapa memilih pendekatan lebih lembut kerana bimbang hukuman fizikal boleh meninggalkan kesan psikologi.

Iklan

Teguran dan hukuman yang suatu ketika dahulu dianggap biasa kini turut dinilai dari sudut kesannya terhadap perkembangan emosi anak.

Persoalannya, dalam usaha melindungi emosi anak, adakah kita semakin sukar mencari keseimbangan antara ketegasan dalam mendidik dengan kelembutan dalam memahami mereka?

Iklan

Perbezaan pandangan ini mencerminkan keresahan masyarakat terhadap cabaran membentuk generasi muda. Ada yang melihat ketegasan sebagai elemen penting dalam pendidikan manakala sebahagian yang lain bimbang hukuman fizikal boleh menjejaskan emosi dan keyakinan anak-anak.

Kebimbangan itu semakin terasa apabila masyarakat berdepan kes buli, pergaduhan dan jenayah membabitkan remaja termasuk insiden meragut nyawa.

Tidak hairanlah timbul desakan supaya pendekatan disiplin dinilai semula, termasuk hukuman rotan di sekolah. Namun adakah rotan benar-benar mampu menyelesaikan masalah disiplin yang semakin kompleks?

Tidak adil meletakkan kesalahan sepenuhnya pada ketiadaan hukuman fizikal kerana tingkah laku remaja turut dipengaruhi persekitaran keluarga, rakan sebaya, media sosial dan keupayaan mengurus emosi.

Apa yang perlu dipersoalkan ialah sama ada ibu bapa dan guru masih mempunyai ruang untuk menegur, menetapkan batas serta melaksanakan tindakan disiplin secara konsisten tanpa mengetepikan kebajikan anak-anak.

Dalam Islam, tanggungjawab mendidik anak merangkumi usaha membimbing mereka melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Al-Kafi #661: Hukum Merotan Anak Sehingga Cedera menjelaskan bahawa rotan boleh menjadi sebahagian kaedah pendidikan, namun pelaksanaannya tertakluk pada batas syarak.

Rotan perlu bertujuan mendidik dan membentuk peribadi baik, bukannya melepaskan kemarahan atau mencederakan anak. Merotan secara melampau sehingga menyebabkan kecederaan adalah haram.

Justeru, perbincangan mengenai rotan perlu mengambil kira peraturan, keselamatan murid dan tujuan sebenar hukuman. Ketegasan bukan bermaksud kekerasan, sebagaimana kelembutan juga tidak seharusnya menyebabkan kesalahan dibiarkan tanpa tindakan.

Anak-anak memerlukan kasih sayang, tetapi mereka juga memerlukan batas. Mereka perlu didengar dan difahami, namun pada masa sama harus belajar hormati orang lain serta bertanggungjawab terhadap perbuatan sendiri.

Mungkin persoalan sebenar bukanlah sama ada rotan perlu dikembalikan sepenuhnya, tetapi sama ada kita masih berani mendidik anak dengan tegas, konsisten dan bertanggungjawab.

Ini kerana matlamat pendidikan bukan sekadar membesarkan anak yang takut melakukan kesalahan tetapi membentuk insan yang memahami mengapa sesuatu perbuatan itu salah.

*Nurezzatul Aqmar Mustaza ialah wartawan Sinar Harian