KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebanyak 2,380 unit barang permainan span lembut atau squisy bernilai RM30,391 menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negeri bermula 3 Oktober hingga Isnin lalu.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, kejayaan itu hasil 101 siri pemeriksaan dilaksanakan di pelbagai premis perniagaan termasuk pusat beli-belah, kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya, peniaga tepi jalan dan pasar malam.
Menurutnya, operasi terbabit dijalankan bagi memastikan setiap barang permainan dijual di pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan iaitu Malaysian Conformity (MC).
"Sebanyak enam premis di Kuala Terengganu telah diambil tindakan dan kes dibuka untuk siasatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta peraturan-peraturan berkaitan standard keselamatan mainan.
"Di bawah peraturan berkuat kuasa, mainan yang tertakluk kepada keperluan standard keselamatan hendaklah mematuhi standard ditetapkan, khususnya produk direka atau dimaksudkan untuk digunakan dalam permainan oleh kanak-kanak berumur bawah 14 tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Mufsi mengingatkan semua pihak termasuk pengilang tempatan, pengimport, pembekal, pengedar dan peruncit agar sentiasa memastikan mainan kanak-kanak yang dibekal atau dijual mematuhi piawaian keselamatan serta mempunyai perakuan tanda pematuhan diwajibkan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menyalurkannya kepada Bahagian Standard Kepenggunaan Ibu Pejabat KPDN menerusi talian 03-8882-5886 atau menghantar emel ke mysafe@kpdn.gov.my.," ujarnya.