Bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak jalani hukuman penjara tiga tahun

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Seorang bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM85,000 atas kesalahan meminta dan menerima rasuah, 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan akhir pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membebaskan Zaidi Dali, 58.

Iklan
Iklan

Hakim Noorin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun dalam penghakimannya berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan responden.

Beliau berkata, pihak pendakwaan telah mengemukakan asas yang mencukupi untuk membolehkan mahkamah campur tangan dalam rayuan itu.

Iklan

"Sabitan yang direkodkan oleh hakim Mahkamah Sesyen dikembalikan. Kami juga mendapati tiada asas untuk mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. Oleh itu, hukuman tersebut turut dikembalikan,” katanya yang turut mengarahkan waran komital dikeluarkan serta-merta.

Hakim Noorin menegaskan rasuah boleh merosakkan keyakinan awam, justeru pihak berkuasa awam yang dituduh menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi perlu mengambil serius tuduhan berkenaan.

Iklan

"Keadilan perlu ditegakkan tanpa prasangka, dengan berpegang teguh pada prinsip undang-undang tanpa menjejaskan kesaksamaan.

"Itulah tanggungjawab berterusan mahkamah, iaitu memastikan undang-undang kekal sebagai pelindung daripada ketidakadilan dan benteng bagi memelihara keyakinan awam,” katanya.

Hakim Noorin berkata selepas meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah berpuas hati bahawa keterangan berhubung mesyuarat antara saksi pendakwaan ketiga (SP3) Nga Chee Jiek dengan Zaidi serta peristiwa yang berlaku selepas itu menyokong dapatan hakim Mahkamah Sesyen.

Berhubung penerimaan wang RM7,000, Hakim Noorin berkata, terdapat rantaian keterangan berhubung penerimaan wang RM7,000 berdasarkan keterangan saksi pendakwaan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 Ogos 2025 yang membebaskan Zaidi daripada kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 terhadap Zaidi selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah.

Zaidi sebagai Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Perak didakwa meminta suapan RM10,000 setiap bulan daripada Chee Jiek, sebagai dorongan untuk memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Seri Manjung.

Kesalahan itu dilakukan di Meru Valley Golf & Country Club pada 9 malam, 5 November 2015, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Chee Jiek untuk dirinya sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf & Country Club pada 9.55 malam 11 November 2015, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan manakala Zaidi diwakili peguam Datuk M. Athimulan.- Bernama