Jerebu: 'Tiru langkah Tun M, boikot syarikat pembakar hutan' - Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Rakyat digesa memboikot syarikat yang terlibat pembakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan dengan menggunakan kuasa membeli seperti pendekatan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu berdepan pertikaian dengan United Kingdom.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, tindakan menggerakkan kuasa pengguna perlu menjadi sebahagian daripada usaha lebih tegas untuk menekan syarikat yang mengutamakan keuntungan sehingga menjejaskan kesihatan, ekonomi dan pendidikan jutaan penduduk.

Iklan
Iklan

“Tidak boleh hanya mengharapkan kerajaan untuk bertindak. Kita perlu pergi kepada rakyat, pergi kepada orang awam dan pastikan rakyat Malaysia turut bersama menggembeleng tenaga serta melakukan protes dari sudut kewangan.

“Kita mempunyai kuasa beli yang akhirnya boleh buatkan syarikat-syarikat di Indonesia takut kerana walaupun jumlah penduduk Malaysia hanya sekitar 30 juta orang tetapi kita antara yang tertinggi di rantau ini dari sudut pembelian per kapita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Pada 2 Oktober 1981, Dr Mahathir yang ketika itu baru tiga bulan menjadi Perdana Menteri memperkenalkan dasar ‘Buy British Last’ bagi menjadikan barangan dan perkhidmatan Britain sebagai pilihan terakhir kerajaan Malaysia.

Langkah itu susulan pertikaian berhubung pemansuhan subsidi yuran pengajian pelajar asing di Britain yang menyebabkan kos pendidikan kira-kira 17,000 pelajar Malaysia tajaan kerajaan meningkat, selain ketidakpuasan hati terhadap pendirian beberapa firma British berhubung Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Iklan

Selepas hampir 18 bulan dilaksanakan, Dr Mahathir menarik balik dasar ‘Buy British Last’ pada 31 Mac 1983 susulan usaha memulihkan hubungan kedua-dua negara, termasuk rundingan dengan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher.

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut menggesa Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik tegas kepada Indonesia serta mendapatkan sokongan negara ASEAN lain khususnya Singapura.

Menurutnya, syarikat yang terbukti terlibat dalam kegiatan itu perlu disekat daripada memperoleh akses kepada pembiayaan termasuk pinjaman daripada institusi kewangan di Malaysia dan Singapura.

“Malaysia dan Singapura mempunyai persamaan dan pengaruh, iaitu kita juga yang memberikan modal besar kepada syarikat-syarikat di Indonesia.

“Syarikat-syarikat walaupun sedikit pun terkait dengan kegiatan pembakaran hutan ini, mereka tidak boleh diberikan akses modal pasaran. Kita perlu menyekat akses mereka kepada pembiayaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memberitahu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada syarikat dari Indonesia, sebaliknya syarikat Malaysia yang didapati terbabit dalam kegiatan pembakaran hutan juga perlu dikenakan tindakan tanpa pilih kasih.

Kata beliau, masalah jerebu bukan isu kecil kerana kesannya turut dirasai dalam sektor pendidikan apabila sekolah terpaksa ditutup akibat pencemaran udara.

Ujarnya, keadaan itu sangat merugikan terutama bagi murid yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai akses terhad kepada komputer riba, tablet dan kemudahan internet.

“Yang paling teruk terkesan ialah anak-anak daripada keluarga susah dan miskin kerana mungkin mereka tidak mempunyai komputer riba atau tablet untuk mengikuti pembelajaran dalam talian,” katanya.