Kerabat Diraja Terengganu saman dua bank, tuntut RM1.99 juta selepas wang simpanan 'lesap'

Iklan
Alif Danial (kiri) bersama Tengku Ismail (dua, kiri) dan brisan peguam ketika memfailkan saman terhadap dua institusi perbankan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Seorang kerabat Diraja Terengganu memfailkan saman sivil terhadap dua institusi perbankan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini pada Selasa atas dakwaan kecuaian sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1.99 juta akibat penipuan dalam talian.

​Plaintif, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, yang juga seorang ahli perniagaan, memfailkan writ saman tersebut melalui peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dan Mohd Hazwan Hamidun.

Iklan
Iklan

​Bercakap kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, Alif Danial berkata, anak guamnya menuntut kedua-dua bank selaku defendan membayar semula keseluruhan wang yang hilang itu.

​"Saman difailkan atas kehilangan sejumlah wang milik anak guam kami yang melibatkan perbuatan scammer (penipuan).

Iklan

"Kita failkan saman terhadap kedua-dua bank tersebut atas dakwaan adanya berlaku kecuaian oleh pihak bank dalam mengendalikan transaksi-transaksi yang dipertikaikan ini," katanya.

​Menurut Alif Danial, pihaknya turut menuntut ganti rugi am ke atas tekanan emosi dan kesusahan yang dihadapi plaintif akibat kejadian terbabit, selain kos guaman serta faedah-faedah lain daripada kedua-dua defendan.

Iklan

​Berdasarkan penyataan writ saman, Tengku Ismail mendakwa tidak pernah menggunakan mana-mana aplikasi perbankan dalam talian dan hanya menyedari sebahagian besar wang dalam akaun simpanannya hilang pada Januari lepas.

​Hasil kunjungan ke cawangan kedua-dua bank terbabit mendapati baki simpanan beliau masing-masing susut dan hanya tinggal sebanyak RM73 dan RM99 sahaja.

Tengku Ismail (dua, kiri) bercakap bersama Mohd Hazwan di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.

​Semakan lanjut mendapati transaksi pengeluaran mencurigakan itu berlaku antara September hingga Disember tahun lepas, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu pada 15 Januari lalu.

​Plaintif menegaskan beliau tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk mengaktifkan atau menggunakan kemudahan perbankan dalam talian, memindahkan wang keluar mahupun mengesahkan sebarang transaksi yang dipertikaikan itu.

​Sehubungan itu, pengurusan dua institusi kewangan berkenaan didakwa cuai kerana membenarkan pihak ketiga mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian tanpa kebenaran, selain gagal memantau serta menyekat transaksi mencurigakan terbabit.