Kerajaan buka ruang pelarian berdaftar isi keperluan tenaga kerja

Iklan
Saifuddin ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri dan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menolak kemungkinan membuka laluan pekerjaan kepada pelarian berdaftar menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data pendaftaran pelarian boleh membantu kerajaan mengenal pasti individu dalam lingkungan umur produktif yang berpotensi memenuhi keperluan sektor ekonomi tertentu.

Iklan
Iklan

"Ada lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja. Kementerian Ekonomi letakkan siling, pekerja asing boleh dibawa masuk di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), jumlahnya tak boleh melepasi 10 peratus daripada guna tenaga kita 17 juta.

"Sepanjang RMK13, 1.7 juta adalah siling bagi lima sektor ekonomi, iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan juga perkhidmatan.

Iklan

"Lima sektor ekonomi ini, kalau tak ada pekerja asing, maka beri kesan kepada ekonomi kita. Maksudnya, tak ada orang yang nak pergi kait sawit ke, nak susun bata. Itu realitinya," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kebenaran untuk pelarian berdaftar di dalam DPP untuk bekerja di sektor yang memerlukan termasuk perbincangan dua hala bersama pemimpin Myanmar dan reaksi Kementerian Dalam Negeeri (KDN) tentang penguatkuasaan oleh rakyat awam yang agresif.

Iklan

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setiap tahun kementeriannya antara agensi kawal selia yang terlibat dalam memutuskan tentang status kelulusan pekerja asing dan sebagainya.

Pada masa sama, katanya, Malaysia turut berdepan situasi kewujudan kira-kira 225,000 individu yang berstatus pelarian berdasarkan data UNHCR.

"Jadi, idea besarnya (belum dilaksanakan), kalaulah kita boleh kumpulkan data 225,000 orang ini, kemudian kita pisahkan yang mempunyai julat umur yang masih produktif, umur 20, 25, 30, masih produktif, yang telah kita tapis, kita ada datanya.

"Jadi, hasrat kita adalah keperluan tenaga kerja tak semestinya kita ambil daripada luar. Saya bagi contoh, katalah Pasir Gudang ada ladang sawit, perlukan 100 pekerja. Ada dua pilihan, nak ambil daripada Bangladesh dan bayar segala kos, ataupun semak dengan data pendaftaran pelarian kami yang memang dah ada, umpamanya.

"Itu keputusan yang akan kita buat. Buat masa ini, saya tidak menolak kemungkinan laluannya ke situ bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang sebenar di hadapan kita," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, orang ramai yang mendapati tingkah laku pelarian menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk setempat perlu menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa dan mengelak daripada mengambil tindakan sendiri.

Tambahnya, kerajaan memahami kebimbangan masyarakat serta menghargai usaha aktivis, namun sebarang dakwaan berkaitan kemasukan pelarian perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut lunas undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, isu etnik Rohingya turut dibincangkan dalam dua pertemuan semasa rundingan dua hala dengan Presiden Myanmar, termasuk pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, Myanmar bersetuju menerima penghantaran pulang rakyatnya daripada semua etnik dengan kos ditanggung negara itu serta bekerjasama dalam proses tapisan bagi mengenal pasti warga Myanmar di Malaysia.