MySiren: Satu siaran, jutaan penerima

Iklan
EWS atau MySiren menyampaikan amaran bencana kepada orang ramai dalam tempoh kurang daripada satu minit. Foto hiasan

DALAM situasi kecemasan seperti banjir besar, tsunami atau tanah runtuh, setiap saat amat berharga bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda.

Keupayaan menyampaikan amaran dalam tempoh singkat menjadi antara kelebihan Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia atau MySiren yang dibangunkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana.

Iklan
Iklan

Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) bagi menyalurkan amaran kecemasan kepada telefon mudah alih yang serasi.

Ujian amaran awam MySiren di seluruh negara dijadualkan pada Ahad, 29 November ini bagi menilai prestasi sistem, mengenal pasti isu teknikal serta meneliti cara amaran disiarkan dan diterima.

Iklan

Ujian tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan sebelum MySiren dijangka tersedia bagi kegunaan operasi menjelang akhir tahun ini.

Meskipun proses penerimaan mesej kelihatan mudah pada skrin telefon, pelaksanaan sistem berkenaan membabitkan penyepaduan infrastruktur telekomunikasi, teknologi penyiaran serta penyelarasan pelbagai agensi.

Iklan

Perbezaan utama antara CBS dengan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) konvensional terletak pada kaedah penyampaian mesej kepada pengguna.

SMS dihantar kepada nombor telefon tertentu dan pemprosesannya bergantung kepada giliran penghantaran yang dikendalikan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Sebaliknya, CBS berfungsi seperti siaran radio yang membolehkan satu mesej disebarkan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan liputan ditetapkan.

Menurut MCMC, penerimaan amaran bagaimanapun tertakluk kepada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G. Foto hiasan

Teknologi itu tidak menggunakan trafik data, sekali gus membolehkan amaran diterima walaupun rangkaian mengalami kesesakan tinggi atau pengguna kehabisan kuota data, selagi peranti bersambung ke rangkaian yang serasi.

Orang ramai juga tidak perlu memuat turun aplikasi, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan bagi menerima amaran berkenaan.

Teknologi di sebalik penghantaran amaran

Secara asasnya, penghantaran amaran MySiren bermula apabila pihak berkuasa mengenal pasti ancaman, kawasan berisiko dan maklumat keselamatan yang perlu disampaikan.

Mesej yang disediakan serta diluluskan pegawai terlatih daripada agensi pengurusan bencana diberi kuasa kemudian disalurkan melalui platform CBS.

Stesen pemancar telekomunikasi yang disasarkan akan menyiarkan mesej kepada telefon mudah alih yang serasi dalam lingkungan liputan rangkaian.

Sebagai contoh, sekiranya amaran banjir dikeluarkan bagi kawasan tertentu di Shah Alam, penyiaran boleh disasarkan ke lokasi terlibat tanpa menghantar mesej kepada pengguna di seluruh negara.

Bagaimanapun, liputan sel rangkaian tidak semestinya sepadan dengan sempadan pentadbiran sesebuah daerah, menyebabkan pengguna yang berada sedikit di luar kawasan sasaran juga berkemungkinan menerima amaran.

Penyelarasan pelbagai pihak jadi cabaran

Pelaksanaan sistem amaran kecemasan pada skala nasional memerlukan penyepaduan pelbagai infrastruktur dan teknologi.

Setiap penyedia perkhidmatan telekomunikasi mempunyai konfigurasi rangkaian tersendiri, manakala pengguna menggunakan pelbagai jenama, model dan versi sistem pengendalian telefon.

Perbezaan itu memerlukan penyelarasan teknikal antara MCMC, Nadma, agensi berkaitan, syarikat telekomunikasi serta pengeluar peranti.

Menurut MCMC, penerimaan amaran tertakluk kepada keserasian peranti, tetapan telefon serta ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G yang mengambil bahagian.

MySiren merupakan inisiatif MCMC dengan kerjasama Nadma. Foto: Bernama

MySiren dijangka berfungsi pada iPhone 11 dan model lebih baharu menggunakan iOS 27.2 ke atas serta peranti serasi Android 12 dan Huawei EMUI 16 atau versi lebih baharu.

Walaupun direka bagi penyampaian pantas, amaran tidak semestinya diterima pada waktu sama berikutan perbezaan rangkaian, kawasan liputan dan cara peranti memproses mesej.

Selain itu, kestabilan rangkaian, ketepatan penyasaran kawasan dan keselamatan platform turut menjadi aspek penting dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Justeru, ujian penerimaan, pemantauan dan penilaian diperlukan bagi mengenal pasti kelemahan teknikal sebelum sistem beroperasi sepenuhnya.

Saluran rasmi tangani kekeliruan maklumat

Dalam era media sosial, penyebaran maklumat kecemasan berlaku dengan pantas, namun turut membuka ruang kepada penyebaran mesej palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan.

MCMC menegaskan hanya agensi yang diberi kuasa boleh mengeluarkan amaran melalui platform CBS rasmi MySiren.

Sistem berkenaan tidak memerlukan pengumpulan maklumat peribadi pengguna serta tidak meminta kata laluan, butiran perbankan atau sebarang bayaran.

Dalam persekitaran digital hari ini, menyampaikan maklumat mengenai inisiatif sebesar MySiren mungkin bukan lagi cabaran paling sukar berikutan keluasan capaian media sosial.

Ironinya, kekuatan media sosial itu juga menjadikan cabaran semakin besar.

Perbezaan pengalaman pengguna ketika ujian berlangsung berpotensi menjadi perbincangan meluas sebelum punca teknikal dikenal pasti.

Keadaan itu menuntut keseimbangan antara kesiapsiagaan teknologi, ketelusan komunikasi dan pengurusan jangkaan masyarakat.

Hakikatnya, di sebalik satu bunyi amaran terdapat usaha kejuruteraan dan penyelarasan operasi berskala nasional demi memastikan maklumat penting sampai kepada orang ramai ketika mereka paling memerlukannya.