Malaysia 'letih' kuasa veto sekat resolusi Palestin - Tok Mat

Iklan
Mohamad ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia mendesak reformasi struktur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghalang kuasa veto digunakan sewenang-wenangnya untuk menyekat tindakan terhadap jenayah kemanusiaan dan genosid di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahan anggota tetap atau tidak tetap dalam majlis berkenaan tidak memadai sekiranya kuasa veto masih boleh digunakan untuk menggagalkan resolusi berkaitan Palestin.

Iklan
Iklan

“Malaysia dah letih dah, 'we are really tired of it' dan kita tidak mahu lagi keadaan ini berterusan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai langkah strategik kerajaan susulan tiga tahun genosid di Gaza bagi memperkukuh perlindungan rakyat Palestin, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban antarabangsa serta pembinaan semula Gaza.

Iklan

Mohamad menjelaskan, sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin semakin meluas, namun usaha berkenaan berdepan kekangan apabila resolusi yang mendapat sokongan majoriti negara masih boleh disekat oleh satu negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Katanya, kira-kira 160 negara menyokong usaha Palestin mendapatkan keanggotaan PBB, namun sokongan itu tidak semestinya menghasilkan tindakan berkesan selagi kuasa veto terus menghalang keputusan bersama.

Iklan

“Apa gunanya 160 buah negara menyatakan sokongan, membuat resolusi bersama tetapi akhirnya diveto oleh satu negara dalam Majlis Keselamatan PBB.

“Kuasa veto ini memang susah untuk ditamatkan ataupun dibuang, tetapi kita perlu menyekat penggunaan sewenang-wenangnya kuasa veto ini,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, Malaysia mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto itu disekat khususnya dalam perkara melibatkan jenayah antarabangsa, jenayah kemanusiaan, genosid dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut Mohamad, Malaysia juga terus menggunakan pelbagai platform antarabangsa termasuk PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN untuk mendesak penyelesaian segera terhadap konflik Palestin.

Beliau turut menyifatkan kenyataan bersama ASEAN yang mengecam keganasan terhadap rakyat Palestin ketika Malaysia mempengerusikan organisasi itu pada tahun lalu sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh tekanan antarabangsa.

Kata beliau, Malaysia turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diuruskan Kementerian Luar.

"Sumbangan rakyat Malaysia disalurkan melalui badan seperti Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta pertubuhan bantuan yang dikenal pasti bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

“Saya mohon supaya rakyat Malaysia teruslah menyumbang kepada akaun amanah ini," serunya.