KUALA LUMPUR – Pekerja yang diberhentikan akibat penstrukturan semula syarikat bagi menyesuaikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027 boleh menuntut faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bantuan itu disediakan bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan dilindungi SIP menampung kelangsungan hidup sementara mencari pekerjaan baharu.
“Sekiranya penyesuaian kadar gaji minimum tersebut menyebabkan penstrukturan semula syarikat sehingga berlaku pemberhentian pekerja, pekerja yang terjejas dan dilindungi oleh SIP adalah layak untuk menuntut faedah SIP, termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi menampung kelangsungan hidup sehingga enam bulan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil dan sama ada kerajaan bercadang menyediakan insentif peralihan kepada majikan yang terkesan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahimmengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun.
Pelaksanaan kadar baharu itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja bertujuan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menegaskan, bagi memastikan kenaikan kadar gaji minimum tidak membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi 8.09 juta pekerja atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja, PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta akan dikecualikan bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan majikan dapat menyusun semula kewangan dan operasi perniagaan tanpa perlu mengambil langkah drastik termasuklah pemberhentian pekerja.
“Penguatkuasaan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) baharu oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) akan dibuat selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) [Akta 732].
“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, pekerja boleh memfailkan aduan dan mana-mana majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti denda atau pemenjaraan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 43 Akta 732,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kebimbangan kemungkinan kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan dasar itu, Akmal Nasrullah berkata, trend inflasi negara kekal stabil dan terkawal meskipun berlaku peningkatan gaji.
Beliau memaklumkan, kadar inflasi menyederhana kepada 1.4 peratus pada keseluruhan 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024 dan 3.3 peratus pada 2022.
“Memasuki tahun 2026, inflasi kekal terkawal pada kadar 1.7 peratus pada suku pertama dan sekitar 1.9 hingga 2 peratus pada suku kedua 2026, manakala inflasi makanan dan minuman juga kekal rendah pada kadar 1.4 peratus bagi Mei dan Jun 2026 serta 1.8 hingga 1.9 peratus pada Julai dan Ogos 2026.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada 5.4 peratus pada suku pertama dan 6 peratus pada suku kedua 2026 turut membuktikan bahawa peningkatan gaji minimum mengukuhkan permintaan domestik tanpa menjejaskan kestabilan harga,” kata beliau.
Akmal Nasrullah menambah, bagi memastikan pelaksanaan PGM baharu tidak memberi kesan kepada kenaikan harga barang, kerajaan komited untuk menstabilkan harga barangan keperluan.
Ia melalui penguatkuasaan yang lebih ketat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], pengurusan bekalan strategik dan peningkatan kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberikan akses kepada harga lebih murah.
“Bagi tujuan ini, peruntukan RM700 juta akan disediakan bagi penganjuran sebanyak 30,000 PJRM bersasar di kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bandar.
“Sebanyak RM50 juta turut diperuntukkan bagi penganjuran 5,000 program Jualan Agro Madami di seluruh negara yang menawarkan barangan agromakanan segar seperti ayam, ikan, sayur dan buah-buahan pada harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya lagi, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara juga akan terus memantau dan melaksanakan usaha mengatasi isu kos sara hidup.