Patau-Patau Dua warisan kampung air Labuan

Iklan
Kampung Patau-Patau Dua warisan kampung air Labuan.

LABUAN – Keaslian kehidupan masyarakat nelayan, tradisi tempatan dan hubungan erat penduduk dengan laut menjadi antara keunikan Kampung Patau-Patau Dua yang wajar dipelihara sebagai identiti kampung air di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bukan sekadar deretan rumah yang dibina di atas air, kampung tersebut menyimpan kisah kehidupan komuniti yang menjadikan laut sebagai sebahagian daripada rutin harian, sumber rezeki dan warisan yang terus membentuk identiti mereka.

Iklan
Iklan

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) S Roslee Matusim berkata, kesepakatan 1,465 penduduk kampung diterjemahkan menerusi aktiviti menarik yang ditawarkan kepada pengunjung dan pelancong.

Menurutnya, antara aktiviti yang diketengahkan adalah pengalaman menangkap ketam yang memberikan gambaran mengenai kehidupan masyarakat yang bergantung pada laut sebagai sumber rezeki.

Iklan

Aktiviti itu juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan berasaskan pengalaman komuniti apabila pengunjung berpeluang mengenali kemahiran nelayan dan kehidupan harian penduduk setempat.

"Keunikan kampung ini turut terserlah melalui sajian tradisional seperti ikan bakar, gulai masak lemak rebung, kuih ardam dan rendang ayam yang memperkenalkan cita rasa tempatan kepada pengunjung," jelas beliau.

Iklan

S Roslee

Gabungan aktiviti berasaskan laut, makanan tradisional dan keramahan penduduk boleh diketengahkan bagi memperkukuh daya tarikan Kampung Patau-Patau Dua, tanpa mengetepikan identiti asal masyarakatnya.

Bagi penduduk tempatan, aktiviti itu mungkin sebahagian daripada rutin mencari rezeki, namun bagi pengunjung dari luar, pengalaman berkenaan memberikan gambaran mengenai kemahiran dan kehidupan masyarakat yang bergantung pada laut.

S Roslee berkata, jika disorot dari nilai sejarah dan cerita masyarakat dahulu, kawasan pulau kecil yang ada di kawasan kampung ini adalah pulau asal yang digelar “Labuhan” atau kawasan berlabuh, nama asal Labuan sebelum nama tersebut digunakan sebagai nama rasmi Labuan hingga ke hari ini.

"Nama tersebut ternyata memberi tuah kepada pulau ini sehingga diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984," ujar beliau.

Ketam segar yang ditangkap di perairan kampung Patau- Patau Dua, di sini.

Selama 42 tahun menongkah arus pembangunan dari sebuah pulau kecil di bawah negeri Sabah, sehingga kini dikenali sebagai Mutiara Borneo yang memilik keindahan budaya dan alam semula jadi yang boleh dibanggakan.

Sebagai salah satu perkampungan air di Labuan dan sebagai salah satu daripada daripada empat lokasi geobudaya, Kampung Patau-Patau Dua menyediakan satu pengalaman budaya yang pastinya menyediakan satu pengalaman kehidupan dan tradisi masyarakat Kedayan Brunei yang ada di wilayah ini.

Dari kehidupan seharian, aktiviti ekonomi, gastronomi, tradisi dan budaya dapat dirasakan ditambah lagi dengan keramahan masyarakat tempatan yang membuatkan para pengunjung seolah-olah hidup dalam kelompok masyarakat tersebut.

Ambuyat, lauk liking, kuih rinjis, sambal bambangan, kuih-muih tempatan seperti kuih cincin dan pelbagai lagi jenis makanan yang sinonim dengan tradisi masyarakat Kedayan Brunei di kampung ini, melambangkan keunikan dan bagaimana tradisi tersebut dijaga supaya bertahan dari generasi ke generasi.

Kampung Patau-Patau Dua tidak perlu kehilangan identitinya untuk menjadi tarikan pelancongan.

Sebaliknya, kehidupan nelayan, warisan makanan dan keramahan penduduk merupakan kekuatan yang boleh dimanfaatkan bagi membuka peluang ekonomi tanpa mengetepikan nilai tradisi setempat.