Lapangan terbang Riyadh ditutup hingga Sabtu susulan serangan berulang Houthi

Iklan
Pemandangan sekitar laluan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, 12 Oktober 2026. Foto Reuters

RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh sehingga Sabtu ini selepas serangan berterusan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang mengosongkan ruang udara ibu negara itu.

Beberapa syarikat penerbangan turut membatalkan penerbangan ke Riyadh susulan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan selepas serangan yang mengorbankan 14 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

Iklan
Iklan

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, lapangan terbang kedua paling sibuk di negara itu selepas Jeddah, digantung bagi membolehkan semua prosedur keselamatan dan kesiapsiagaan operasi fasiliti lapangan terbang diselesaikan.

Pada Isnin malam, kumpulan Houthi mendakwa melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu balistik terhadap lapangan terbang berkenaan, tidak lama selepas Arab Saudi memaklumkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Riyadh.

Iklan

Kumpulan itu turut mendakwa menyasarkan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait di barat daya Arab Saudi menggunakan dron, namun tiada pengesahan segera daripada pihak berkuasa Saudi.

Notis kepada juruterbang (NOTAM) yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid akan kekal ditutup sehingga jam 9 malam GMT pada 17 Oktober.

Iklan

Lapangan terbang itu ditutup sejak serangan pada Sabtu yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain, sekali gus menjadi insiden paling maut di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad. Pada Ahad, satu lagi serangan meragut satu nyawa dan mencederakan hampir 12 individu.

Siri serangan itu menjadi antara gangguan terbesar terhadap sektor penerbangan Arab Saudi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketika industri berkenaan berdepan cabaran konflik di Asia Barat serta peningkatan harga bahan api pesawat yang menjejaskan keuntungan.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan bahawa penerbangan awam semakin terdedah sebagai sasaran dalam konflik bersenjata.

Pengasas OPSGROUP, Mark Zee, menyifatkan tahap serangan berterusan terhadap sektor penerbangan awam itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Serangan berterusan dengan intensiti tinggi terhadap penerbangan awam pada skala ini tidak pernah disaksikan sebelum ini.

"Keadaan ini memerlukan kita menilai semula gambaran risiko semasa dan bertindak dengan lebih berhati-hati," katanya.

Data penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat mengelakkan ruang udara Riyadh pada Isnin, meskipun penerbangan masih melintasi ruang udara Arab Saudi dan mendarat di hab utama Jeddah di pantai barat negara itu.

Menurut firma analitik penerbangan Cirium, kadar pembatalan penerbangan di seluruh lapangan terbang Arab Saudi meningkat kepada 46.4 peratus.

Krisis jejas prospek perniagaan Arab Saudi

Gangguan berterusan itu memaksa syarikat penerbangan di Eropah dan Asia menggantung perkhidmatan ke Riyadh.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat turut menasihatkan syarikat penerbangan negara itu supaya lebih berhati-hati ketika terbang ke atau merentasi ruang udara Arab Saudi, manakala Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) memperluas amaran berhubung ruang udara negara itu susulan ancaman peluru berpandu dan dron.

Penganalisis penerbangan, John Strickland berkata, kesannya bukan sahaja dirasai Arab Saudi malah menjejaskan hubungan udara serantau dan antarabangsa.

OPSGROUP turut menasihatkan syarikat penerbangan supaya mengelakkan koridor penerbangan di bahagian selatan Asia Barat dan menggunakan laluan alternatif melalui Asia Tengah bagi penerbangan antara Eropah dan Asia.

Menurut Zee, langkah itu menyebabkan sesetengah laluan menjadi lebih panjang selain mengehadkan akses ke hab utama seperti Dubai dan Abu Dhabi bagi kebanyakan syarikat penerbangan Barat.

Kumpulan Lufthansa membatalkan semua penerbangan ke Riyadh sehingga 16 Oktober, manakala Air France-KLM melanjutkan penggantungan penerbangan ke dan dari Riyadh sehingga hujung bulan ini. Etihad Airways dari Abu Dhabi turut memanjangkan tempoh pembatalan penerbangannya.

Delta Air Lines pula menangguhkan pelancaran laluan baharu Atlanta-Riyadh yang pada asalnya dijadual bermula pada 23 Oktober kepada Mac 2027.

Ketegangan yang semakin memuncak dengan kumpulan Houthi turut mencetuskan kebimbangan terhadap ekonomi Arab Saudi secara keseluruhan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar negara itu diunjurkan menguncup sebanyak 3.6 peratus tahun ini susulan beberapa faktor termasuk penyusutan aktiviti minyak.

Serangan berkenaan juga memberi tekanan terhadap beberapa acara utama yang dijadual berlangsung di Riyadh bulan ini, termasuk persidangan pelaburan utama negara itu dan Kongres Tenaga WPC, apabila beberapa tokoh kanan industri minyak dilaporkan menarik diri daripada program berkenaan. – Agensi/Awani